Kilang Minyak Sawit Pintar Mampu Jimatkan Perbelanjaan Sehingga RM2.6 juta Setahun – Johari

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa kilang minyak sawit pintar yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) mampu menjimatkan perbelanjaan mengurus sehingga RM2.6 juta setahun.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah merasmikan kilang minyak sawit yang dipacu oleh AI pada Selasa.

“Saya telah merasmikan kilang minyak sawit yang dipacu oleh AI di Kilang Minsawi Industries Sdn Bhd dengan kerjasama AIREI Sdn Bhd yang merupakan pertama di dunia.

“Sistem inovatif AIREI yang mengintegrasikan AI mempunyai empat komponen utama dalam mengoptimumkan prestasi kilang. Pertama, sensor lanjutan dipasang di seluruh kilang untuk memantau parameter kritikal seperti suhu, tekanan dan prestasi peralatan, membolehkan pengumpulan data masa nyata untuk meningkatkan kecekapan.

“Selain itu, kamera litar tertutup berasaskan AI dipasang secara strategik untuk mengesan jumlah tandan buah segar (FFB) dan mengenal pasti anomali operasi bagi memastikan pemantauan yang lancar,” katanya.

Menurutnya, dengan teknologi AI yang diimplementasikan di kilang tersebut, ia mampu mengurangkan tenaga kerja yang dikuasai oleh pekerja asing.

“Di samping itu, sistem kawalan berasaskan AI mampu mengautomasi proses, mengawal operasi dan menguruskan sumber untuk prestasi maksimum berdasarkan analisis data masa nyata.

“Penyelenggaraan ramalan menggunakan algoritma pembelajaran mesin dan data sensor untuk mengurangkan masa henti dan mengekalkan prestasi yang konsisten.
Berdasarkan teknologi AI di kilang ini, ia mampu mengurangkan pekerja kilang terutamanya pekerja asing hampir 35 peratus sekaligus mengutamakan kepakaran pekerja tempatan bagi mengendalikan teknologi ini.

“Ini dapat menghasilkan kecekapan dari segi pengeluaran minyak, meningkatkan pendapatan, termasuk penjimatan kos bagi pekerja, tenaga elektrik, air dan penyelenggaraan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa dengan menggunakan sistem AI tersebut, ia mampu mengurangkan hampir 8,000 tenaga pekerja asing dalam kilang kelapa sawit.

“Sekiranya 446 kilang-kilang kelapa sawit di Malaysia boleh menggunakan teknologi ini, ia boleh mengurangkan hampir 8,000 pekerja asing dalam kilang kelapa sawit dan ini merupakan satu jumlah yang besar hasil daripada penggunaan sistem AI.

“Pelaburan untuk penggunaan AI ini adalah kira-kira RM5 juta dengan jangkaan penjimatan RM2.6 juta setahun.

“Tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif AIREI Sdn Bhd Surendran Kuranadan dan Pengarah Minsawi Industries Datuk B. Sahadivanaidu serta Datuk Kili Rathna Raj,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.