Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Prestasi Menteri BN Memuaskan Meski Pernah Bertukar Portfolio – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Prestasi menteri-menteri Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan agak memuaskan meskipun telah berlakunya pertukaran portfolio untuk beberapa kementerian, kata Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan.

Ujarnya, kestabilan politik dan ekonomi telah terbentuk menjelang genap dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan apabila pihak pembangkang sudah tidak terdaya untuk meruntuhkannya.

“Dalam masa setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan, terdapat banyak unsur-unsur ketidakstabilan politik apabila pihak pembangkang yang diketuai oleh Perikatan Nasional (PN) cuba menjatuhkan kerajaan dengan berbagai cara. Jadi, itu tahun pertama.

“Tapi apabila masuk tahun kedua, kita lihat PN terutamanya PPBM sudah agak lemah. Mereka kehilangan kekuatan. Jadi agak berkurangan sedikit apa yang dikatakan sebagai usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Jadi pada ketika ini, kita lihat kestabilan politik itu telah terbentuk dan Kerajaan Perpaduan dapat menumpukan perhatian dalam mentadbir negara untuk masa depan demi kebaikan negara dan rakyat. Itu yang lebih penting,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kestabilan yang dicapai ini dapat membolehkan para menteri memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

“Tidak ada lagi unsur-unsur untuk menjatuhkan kerajaan maka Kerajaan Perpaduan, menteri-menteri dapat menumpukan tugas masing-masing. Ini yang kita lihat dalam menjangkau usia dua tahun Kerajaan Perpaduan.

“Mengenai peranan menteri-menteri BN pula, saya melihat tiga kementerian dipegang oleh menteri daripada UMNO/BN iaitu Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri, dan juga Kementerian Pertahanan. Kementerian-kementerian ini menjadi tonggak kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa menteri dari UMNO/BN memainkan peranan mereka sebaiknya dan ia turut memberikan kestabilan serta kekukuhan untuk parti diwakili.

“Kalau dicampur dengan Datuk Seri Azalina yang menjaga hal ehwal perundangan… jadi tiga campur satu (kementerian) ini, itulah dikatakan sebagai tonggak kerana keempat-empat portfolio ini dianggap penting dalam pentadbiran kerajaan.

“Prestasinya agak memuaskan meskipun apabila berlaku pertukaran tiga portfolio utama iaitu Pengajian Tinggi, Pertahanan dan Luar Negeri di antara Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

“Jadi, itu menunjukkan kestabilan dan kekukuhan bukan sahaja dalam UMNO, tetapi juga secara langsungnya menstabilkan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022 memperlihatkan bahawa tidak ada satu pun parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, tuanku menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk menamatkan kemelut ‘kerajaan tergantung’ yang telah berlaku selama lima hari.

Sepanjang lima hari berlakunya ‘kerajaan tergantung’ itu, BN telah mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Namun PN telah menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Demi menyelamatkan negara, BN dan PH mengenepikan sengketa yang berabad… lalu memeterai kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit