Pelihara Kerajaan Perpaduan, Laksana Gabungan Politik Demi Kestabilan Dan Masa Depan Negara – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 19 Nov – UMNO memainkan peranan penting dalam kestabilan politik Malaysia dan telah berkolaborasi dengan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti lain dalam Kerajaan Perpaduan demi masa hadapan negara dan rakyat.

Exco Wanita UMNO Malaysia Dr Masliha Harun berkata, tujuan parti ini bergabung untuk mengelakkan ketidakstabilan politik sebagaimana yang pernah berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan memberikan ruang kepada pelaksanaan dasar-dasar yang lebih menyeluruh dan inklusif.

“Kerajaan Perpaduan ini lebih stabil berbanding dengan kerajaan terdahulu yang sering bergantung kepada sokongan yang tidak konsisten daripada pelbagai parti. Kestabilan ini memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat serta dapat mengurangkan ketidakpastian politik yang merugikan.

“Parti ini berperanan dalam memastikan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Namun, kejayaan jangka panjang kerajaan ini bergantung pada kemampuan UMNO dan parti-parti lain untuk terus bekerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi dan sosial.

“UMNO mempunyai beberapa menteri penting dalam kabinet, termasuk Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Menteri Luar Negeri, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Menteri Pertahanan dan Menteri Pendidikan, yang membolehkan parti ini terus memberi sumbangan dalam membuat keputusan besar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional, Wanita UMNO Malaysia berkata dalam konteks ekonomi, UMNO bersama parti-parti lain dalam kerajaan telah terlibat dalam merangka dasar untuk memulihkan ekonomi Malaysia selepas kesan pandemik COVID-19 dan cabaran global.

“Pemulihan ekonomi pasca pandemik di bawah Kerajaan Perpaduan telah memberi tumpuan kepada memulihkan ekonomi melalui belanjawan yang menyokong sektor-sektor terjejas, termasuk bantuan sosial dan pengembangan peluang pekerjaan.

“UMNO turut menyokong inisiatif kerajaan dalam rancangan pemulihan dan pelaburan yang bertujuan menarik pelaburan asing, memacu projek infrastruktur, serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara. Sumber ekonomi seperti minyak dan gas serta sektor teknologi juga menjadi tumpuan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Dr Masliha berharap Kerajaan Perpaduan ini kekal stabil berterusan kerana rakyat telah memberikan kepercayaan pada kerajaan ini.

“Kerajaan Perpaduan ini dapat kekal stabil berterusan dan fokus dalam menangani isu-isu seperti kos sara hidup, kebajikan sosial, dan pengangguran. Kepercayaan rakyat terhadap kestabilan politik adalah kunci kepada kejayaan jangka panjang kerajaan ini.

“Peningkatan kualiti hidup juga dapat meningkatkan peluang ekonomi, pendidikan, penjagaan kesihatan serta mewujudkan peluang pekerjaan. UMNO dan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan perlu terus bekerjasama dengan efektif tanpa menjejaskan kepentingan rakyat atau kestabilan,” ujarnya.

Oleh itu kata Dr Masliha lagi, formula kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan menjadi asas rujukan kepada kerajaan negeri.

“Formula kerjasama ini dan dibawa ke negeri-negeri yang di bawah Kerajaan Perpaduan kerana memerlukan sebuah kerajaan Persekutuan dan negeri yang stabil. Rakyat juga sudah muak dengan ketidakstabilan politik yang pernah dialami dalam penggal lalu,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit