Malaysia Raih Manfaat Besar Penggunaan Teknologi Inovatif Syarikat Terkemuka UAE

DUBAI, 19 Nov – Malaysia bakal meraih manfaat besar daripada penggunaan teknologi inovatif seperti Kecerdasan Buatan (Al) dan Internet Kebendaan (IoT) yang diketengahkan oleh syarikat-syarikat terkemuka di Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk NAFFCO.

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata teknologi itu berpotensi memperkukuh sistem pengurusan bencana negara sekali gus meningkatkan keupayaan Malaysia menangani cabaran semasa.

 

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri melawat NAFFCO, sebuah peneraju global dalam bidang keselamatan dan perlindungan yang telah mengembangkan sayapnya ke lebih 100 negara, sebagai antara agenda lawatan kerja beliau ke UAE yang berakhir hari ini.

Beliau diberikan taklimat oleh pengurusan tertinggi NAFFCO mengenai perjalanan operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan sebelum dibawa melawat kilang syarikat tersebut bersama delegasi.

Ahmad Zahid berkata usaha mempelajari teknologi terkini serta pertukaran pengetahuan amat penting, terutama ketika negara bersiap siaga menghadapi risiko global seperti bencana yang dipengaruhi perubahan iklim.

“Kepakaran dan komitmen NAFFCO sejajar dengan misi kita untuk melindungi nyawa, harta benda dan alam sekitar. Dengan meneroka peluang kerjasama, kita dapat memperkukuh kesiapsiagaan bencana, memperkasakan barisan penyelamat dan memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Bersama, kita mampu membina masa depan yang lebih selamat, lestari dan berdaya tahan,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit