Azalina Adakan Perbincangan Dua Hala Dengan Menteri Keadilan, Pendakwa Raya Agung China

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berbesar hati mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Republik Rakyat China (PRC) iaitu Menteri Keadilan, He Rong dan Pendakwa Raya Agung, Ying Yong sempena lawatan kerja beliau ke negara itu yang bermula pada Isnin.

Memanfaatkan pertemuan tersebut diskusi dan bertukar pandangan dilakukan termasuk perkara berkaitan dengan perundangan terutama reformasi institusi dan undang-undang.

“Kedua-dua mereka ini merupakan tokoh penting yang berperanan mengemudi reformasi perundangan di China.

“Perbincangan juga tertumpu kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem dan perkhidmatan undang-undang yang dapat mempertingkat akses kepada keadilan serta aspek timbang tara sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut sama memanjangkan jemputan kepada He Rong untuk menghadiri Mesyuarat dan Forum Menteri-Menteri ASEAN yang akan dipengerusikan pada tahun hadapan sempena kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Pertemuan tersebut juga menyaksikan termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dengan Kementerian Keadilan PRC (MOJ).

“MoU ini bagi memperkukuhkan kerjasama kedua-dua pihak dalam hal-hal berhubung perkongsian maklumat dan kepakaran khususnya dalam menerima pakai teknologi AI dan pendigitalan dalam sistem perundangan serta pembinaan kapasiti para pegawai dalam pengurusan operasi dan institusi.

“Saya berharap agar kerjasama ini akan mempertingkatkan lagi hubungan erat di antara Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit