Wanita Malaysia Pemangkin Kemajuan Ekonomi dan Sosial Negara – Norshida

SEGAMAT, 18 Nov – Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Norshida Ibrahim, menganggap bahawa wanita memainkan peranan amat besar dalam kemajuan negara dan mendepani cabaran-cabaran dalam mencapai sasaran khususnya penglibatan dalam sektor pekerjaan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat dalam hantaran menerusi laman Facebooknya menyebut nama-nama tokoh wanita yang telah memberi impak besar dalam bidang masing-masing, seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Nicol Ann David, Sheila Majid dan ramai lagi.
Menurutnya, tokoh-tokoh ini bukan sahaja berjaya dalam kerjaya profesional, tetapi juga membuktikan bahawa wanita mampu menjadi ibu rumah tangga yang berjaya, memberikan inspirasi kepada generasi akan datang.

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan telah menetapkan sasaran untuk melibatkan 60 peratus wanita dalam sektor pekerjaan di Malaysia, namun, berdasarkan Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 2022, Malaysia hanya mencapai 56.3 peratus wanita yang terlibat dalam sektor pekerjaan sehingga Jun 2023.

Beliau menggesa supaya usaha lebih besar dilakukan untuk memastikan wanita mempunyai peluang yang lebih luas dalam sektor ekonomi, terutamanya dengan kemajuan teknologi dan platform e-dagang yang semakin berkembang.

“Wanita kini merupakan penggiat utama dalam industri e-dagang, dan saya percaya sektor ini mampu memberi impak besar kepada ekonomi negara. Namun, ia memerlukan pelaksanaan dasar yang lebih holistik dan efisien, termasuk pemantauan cukai yang ketat oleh pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASIL),” katanya.

Terdahulu beliau mengucapkan tahniah kepada Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Syed Sheikh, yang telah menerima gelaran Empowerment Icon daripada International Transnational Education Association (ITEA).

“Ini adalah impak daripada pencapaian yang membanggakan ‘wanita selembut sutera ini’ dalam memperkasakan wanita di pentas dunia.

“Sumbangan terpenting beliau yang dirakam lensa media antaranya berkaitan pemerkasaan wanita, e-pembelajaran, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), konsep ekonomi kapitalis yang meminggirkan wanita dan lain-lain.”

Norshida juga turut memberi penghormatan kepada perjuangan tokoh-tokoh wanita yang telah lama berjuang untuk hak wanita dan kemajuan negara seperti Ibu Zain, Ibu Azizah, Tan Sri Aisyah Ghani dan Syamsiah Fakeh.

“Perdana Menteri sejak yang pertama sehingga ke PMX memaklumkan bahawa agenda memperkasakan wanita negara ini tidak pernah surut. Pernyataan baru-baru ini oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri juga menarik perhatian saya bahawa wanita di negara ini akan merancakkan sektor ekonomi dengan berupaya meningkatkan sehingga RM6 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Agenda strategik antara pelbagai pihak khususnya kerajaan dan swasta bagi melengkapkan pakej wanita sebagai penyumbang kepada sektor pekerjaan sudah tentu akan mendorong institut pengajian tinggi di negara ini juga lebih efektif serta komprehensif dalam menawarkan kursus kepada para pelajar.”

Beliau berharap agar usaha memperkasakan wanita dalam sektor pekerjaan terus mendapat sokongan padu daripada kerajaan dan sektor swasta.

“Wanita adalah tunjang utama dalam pembangunan keluarga, komuniti, dan negara. Dengan jiwa yang tenang dan prinsip yang teguh, wanita akan terus menjadi agen perubahan yang membawa negara ke puncak kejayaan,” katanya lagi yang menyeru kaum wanita untuk terus cemerlang demi negara terbilang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit