UMNO Bukan Dalang Sebar Video Rasuah, Sharif Musa Gesa Pihak Berkuasa Segera Ambil Tindakan

LAHAD DATU, 18 Nov – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menuntut agar pihak berkuasa segera menyiasat secara mendalam berkaitan dakwaan kes video rasuah melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kini tular di media sosial.

Dalam hal ini, beliau mengecam sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan UMNO sebagai dalang di sebalik penyebaran video tersebut dan menegaskan bahawa ini adalah fitnah yang sengaja direka untuk menjatuhkan imej parti.

Sharif Musa menegaskan bahawa tuduhan liar tersebut merupakan serangan yang tidak berasas dan sangat merugikan, khususnya di Sabah.

“Ini adalah satu fitnah yang sangat berat terhadap kami. Kami tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk merosakkan reputasi sesiapa, lebih-lebih lagi melalui penyebaran video yang berniat jahat.

“Siapa sahaja yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlu dibawa ke muka pengadilan. Kami menuntut agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh untuk mendedahkan siapa sebenarnya yang cuba memainkan agenda busuk ini,” tegasnya.

Menurutnya, UMNO adalah sebuah parti yang selama ini memperjuangkan pembangunan dan kemakmuran rakyat Sabah, dan tuduhan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali.
“Selama ini, UMNO telah berkhidmat dengan sepenuh hati untuk rakyat Sabah, dengan pelbagai pencapaian dalam sektor pembangunan, dari kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, pembinaan jalan raya, sehinggalah kepada pembangunan pendidikan, ekonomi, dan sosial.”

Beliau menambah bahawa tuduhan-tuduhan yang cuba mengaitkan UMNO dengan masalah yang dihadapi rakyat Sabah adalah suatu bentuk penyalahgunaan politik yang tidak bertanggungjawab.

“Rakyat Sabah tahu apa yang UMNO telah lakukan untuk mereka. Tidak ada parti yang boleh menafikan sumbangan besar yang telah diberikan UMNO dalam memajukan negeri ini. UMNO telah melakar sejarah dalam banyak aspek, dari pendidikan, sukan, kebudayaan, hingga kepada pembangunan infrastruktur. Sekarang mereka cuba menuding jari dan menyalahkan UMNO untuk masalah yang mereka sendiri gagal selesaikan. Ini adalah perbuatan yang tidak adil.”

Sharif Musa juga mengingatkan bahawa rakyat Sabah kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran besar, termasuk kemiskinan, ketiadaan air bersih, serta kerosakan infrastruktur asas.
“Dalam menghadapi krisis ini, rakyat memerlukan pemimpin yang dapat memberi penyelesaian nyata, bukan sekadar menyalahkan pihak lain. Rakyat sudah muak dengan politik tolak ansur yang tidak memberikan sebarang hasil yang konkrit.

“UMNO Bahagian Lahad Datu mewakili 52,000 ahli yang berpendirian tegas untuk memastikan UMNO tetap bersih dan teguh dalam perjuangannya. Kami menuntut pihak berwajib untuk segera menyiasat siapa yang bertanggungjawab menyebarkan video tersebut dan mengheret mereka ke muka pengadilan. Jangan biarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas ini terus berleluasa,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat Sabah dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk fitnah yang cuba merosakkan nama baik parti dan mencemarkan integriti ahli-ahlinya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit