Tolak Politiking, Fokus Kepada Pembangunan Infrastruktur Dan Kebajikan Rakyat Sabah – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 18 Nov – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed menggesa semua pihak termasuk kerajaan negeri Sabah untuk tidak bersifat ‘politiking’ sebaliknya melaksanakan perubahan drastik bagi menangani pelbagai isu infrastruktur dan kemiskinan yang masih berlarutan.

Menurut beliau, kestabilan politik dan pentadbiran yang kukuh amat diperlukan agar pembangunan negeri dapat dipercepatkan dan diselesaikan dengan lebih efisien.

“Saya melihat pentadbiran ini terlampau banyak ‘politiking’ iaitu terlampau memikirkan soal mereka untuk terus menguasai kerajaan negeri… bila ada ini bermakna mereka sering memikirkan tentang politik daripada keperluan rakyat.”

Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menyatakan bahawa perubahan kerajaan dan pengantian kabinet yang kerap berlaku menyebabkan dasar kerajaan sering berubah lantas memberi impak negatif terhadap pembangunan negeri.

“Jadi sudah tentu rakyat mahukan terbentuknya sebuah kerajaan yang stabil agar pembangunan itu dapat diteruskan dengan lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya kepada UMNO Online.

Antara isu utama yang dibangkitkan oleh Jeffery Nor adalah masalah bekalan tenaga elektrik dan air yang semakin kritikal termasuk infrastruktur air sedia ada yang tidak mampu memenuhi permintaan rakyat Sabah.

“Pengerusi Sabah Electricity baru-baru ini menyatakan bahawa masalah kerap berlaku gangguan bekalan elektrik atau ‘blackout’ dijangka semakin teruk pada tahun depan.

“Begitu juga dengan air, kita tahu loji rawatan air dengan paip daripada loji ini tidak memenuhi kehendak apa yang ada di negeri Sabah sekarang. Itu sebabnya, tekanan rendah yang menyebabkan banyak tempat tidak ada air.

“Rakyat Sabah sudah terlalu lama dibelenggu dengan masalah bekalan elektrik dan air. Masalah ini mesti diselesaikan dengan segera, bukannya terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan konkrit. Jika masalah ini berterusan, saya rasa ia satu kegagalan besar bagi kerajaan negeri,” ujarnya dengan penuh kesal.

Selain itu, Jeffery Nor turut membangkitkan isu penggunaan peruntukan kerajaan negeri yang sering tidak digunakan secara maksimum maka, beliau menggesa agar peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta yang baru sahaja diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, digunakan dengan lebih bijak dan teliti untuk menyelesaikan masalah asas seperti infrastruktur dan kemiskinan.

“Saya tidak faham kenapa peruntukan ini perlu dipulangkan semula. Negeri Sabah mempunyai banyak masalah besar yang memerlukan perhatian segera, tetapi peruntukan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kita perlu meningkatkan kemampuan pentadbiran untuk melaksanakan projek-projek ini dengan berkesan,” jelasnya.

Jeffery Nor juga menyorot kemiskinan yang masih melanda sebahagian besar rakyat Sabah.

Beliau menyatakan bahawa banyak penduduk di kawasan luar bandar masih bergelut dengan isu asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pendidikan malah keadaan ini, menunjukkan bahawa usaha kerajaan dalam menangani kemiskinan di negeri ini masih jauh dari memadai.

“Masalah rakyat Sabah bukan hanya sekadar kekurangan makanan, tetapi ada yang menghadapi masalah untuk mencari tempat tinggal, untuk menghantar anak ke sekolah. Ini adalah realiti yang kita hadapi setiap hari. Apakah gambaran kita bahawa kemiskinan ini sudah selesai?” soalnya.

Sebagai langkah penyelesaian, Jeffery Nor mencadangkan agar Jabatan Kebajikan Negeri Sabah diperkasakan, dengan memberi penekanan kepada pengumpulan data yang lebih terperinci dan menyeluruh mengenai keadaan sebenar golongan miskin di negeri ini.

Menurutnya, data yang lebih tepat dan terkini adalah kunci untuk merancang dasar dan tindakan yang lebih berkesan.

“Jabatan Kebajikan negeri perlu beroperasi dengan lebih proaktif. Kita perlu data yang lebih jelas dan mendalam supaya bantuan dapat disalurkan dengan tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Jeffery Nor juga mengingatkan bahawa perubahan drastik perlu dilakukan segera untuk memastikan Sabah dapat keluar dari kemelut yang dihadapi dan kerajaan negeri tidak boleh lagi terus berada dalam ‘kondisi statik’ sebaliknya perlu bertindak tegas untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan segera.

“Saya berharap perubahan ini akan berlaku selepas pilihan raya. Kita tidak boleh terus hidup dalam keadaan yang tidak berubah. Kita perlu bertindak untuk memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah dapat ditingkatkan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit