Tengku Adnan Realitikan UMNO Tak Banyak Alasan, Teruskan Khidmat Bakti Demi Rakyat

PUTRAJAYA, 18 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa UMNO tidak perlu mencari alasan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat kerana sememangnya khidmat bakti telah sebati dalam parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, meskipun beliau kini bukan lagi wakil rakyat atau bergelar ahli Parlimen tetapi komitmen terhadap masyarakat tidak pernah luntur khususnya berkaitan pendidikan dan pembangunan generasi muda.

Terdahulu pada Sabtu, Tengku Adnan telah menyempurnakan program ‘Menggapai Bintang A+ SPM’ yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan Perpaduan UMNO Bahagian Putrajaya, bertujuan untuk memberi galakan dan panduan kepada pelajar-pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

“Tak banyak alasan untuk kami terus memberi sokongan kepada semua lapisan masyarakat. Ini adalah antara usaha berterusan parti yang sentiasa menunjukkan komitmen dalam memastikan golongan muda mendapat peluang terbaik untuk berjaya,” ujar Tengku Adnan.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pendidikan adalah asas kepada kemajuan negara dan generasi muda merupakan pemangkin kepada masa depan yang lebih gemilang.

Menurut beliau, UMNO Bahagian Putrajaya berusaha untuk menyediakan platform bagi para pelajar untuk berjaya dengan memberikan sokongan penuh kepada mereka, termasuk motivasi untuk menghadapi tekanan dan cabaran semasa peperiksaan.

“Kami akan terus memberikan sokongan kepada pelajar dan ibu bapa. Dengan pendidikan, kita bukan sahaja dapat melahirkan individu yang berjaya di dalam akademik, tetapi juga pemimpin masa depan yang mampu membawa perubahan positif kepada negara.

“Hal tersebut telah terbukti malah negara kita mampu mencapai kejayaan sebagaimana hari ini adalah hasil daripada perjuangan keluar dari kemiskinan dengan mendapat pendidikan dan pembelajaran terbaik.”

Tengku Adnan turut menyeru para pelajar untuk terus berusaha gigih dalam mencapai kecemerlangan akademik, kerana pendidikan adalah pelaburan terbesar untuk masa depan.

“Melalui program seperti ini, kita berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berusaha lebih keras dan mencapai kejayaan dalam SPM, sekaligus mencipta generasi muda yang lebih berdaya saing di peringkat global.

“Dengan fokus terhadap pendidikan, UMNO sentiasa bertekad untuk terus melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan.”

Menerusi program ini, sebanyak 110 pelajar dari 11 buah sekolah dalam Parlimen Putrajaya berkumpul untuk menimba ilmu daripada guru pakar bagi teknik menjawab kertas Sejarah dan Bahasa Melayu Kertas 2.

Usaha ini mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Gabungan Pengetua Sekolah Menengah Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim; Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Putrajaya, Kamaluddin selain pengerusi biro terbabit yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit