Kes Penganiayaan Dan Pembunuhan Haiwan Secara Kejam Kian Membimbangkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kebimbangan dengan kes-kes penganiyaan haiwan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Katanya, ini kerana rekod daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), mendapati lebih 7,600 aduan penderaan haiwan diterima sejak 2021 sehingga hari ini termasuk kes daripada Selangor yang mencecah 3,334.

“Kebelakangan ini, timbul banyak kes penganiayaan, penderaan dan pembunuhan haiwan secara kejam dan melampau.

“Malah pada hari Selasa, 12 November lalu, saya telah menerima satu memorandum daripada Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) bersama Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), Pertubuhan Kebajikan Haiwan Malaysia (MAWA), Suara Haiwan dan gabungan NGO haiwan terbesar Malaysia di hadapan Parlimen.

“Memorandum tersebut menuntut keadilan dan layanan berperikemanusiaan terhadap haiwan terbiar di seluruh negara termasuk memohon pertimbangan Kerajaan untuk meneliti semula Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera malah menambah, sewaktu beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah diwujudkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 bagi menjaga kebajikan haiwan yang teraniaya.

Di bawah akta tersebut, pelaku yang memukul, menendang, menganiaya, menyeksa, menimbulkan kemarahan atau menakutkan mana-mana haiwan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan yang pertama.

Namun katanya kebelakangan ini banyak dalam kalangan majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan yang menggunakan undang-undang kecil untuk membunuh atau menembak haiwan liar.

“Saya ingin mengatakan bahawa oleh kerana Akta Kebajikan Haiwan ini diluluskan di Parlimen, akta ini mengikat majlis daerah dan sebagainya dari segi tindakan walaupun mereka ada undang-undang kecil.

“Disebabkan undang-undang kebajikan haiwan diluluskan di Parlimen bermakna ia lebih tinggi daripada undang-undang kecil majlis daerah.

“Jadi kita harap pihak majlis tidak menjadikan alasan ini untuk menembak haiwan sesuka hati tanpa ada sebab-sebab muhasabah yang dibenarkan oleh Jabatan Veterinar,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit