Kes Mala Vello: Kerajaan Pandang Serius Isu Pemerdagangan Manusia – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri memandang serius isu rakyat Malaysia dijadikan mangsa jenayah pemerdagangan manusia di luar negara, kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Ini kerana katanya, berhubung isu Mala Vello, Kedutaan Besar Malaysia di Katmandu, Nepal telah beberapa kali berhubung dan membangkitkannya dengan pihak berkuasa Nepal sejak dari tahun 2022.

“Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, bantuan konsular yang diberikan oleh Perwakilan Diplomatik Malaysia di seluruh dunia adalah selaras dengan fungsi-fungsi konsular yang telah diperuntukkan dalam Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963.

“Dalam kes Mala Vello khususnya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal telah beberapa kali berhubung dan membangkitkan isu ini dengan pihak berkuasa Nepal semenjak dari tahun 2022 kepada Kementerian Luar Negeri Nepal, Kementerian Dalam Negeri Nepal dan Jabatan Imigresen Nepal dengan tujuan memohon pertimbangan untuk mengurangkan atau mengetepikan denda yang dikenakan ke atas beliau.

“Walau bagaimanapun, terdapat rombakan jemaah menteri di pihak Kerajaan Nepal pada waktu itu yang menyebabkan tiada jalan penyelesaian atau maklum balas positif diberikan. Sebarang pemansuhan denda memerlukan keputusan daripada Kementerian Kewangan dan Parlimen Nepal kerana ianya melibatkan hasil negara tersebut,” katanya ketika sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, Mala telah berjaya dibebaskan dan dihantar pulang ke Malaysia atas kerjasama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama pihak NGO dan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mala telah memfailkan permohonan semakan hukuman di Mahkamah Nepal dan berjaya mendapat perintah mahkamah agar beliau dibebaskan serta dihantar pulang ke negara asal.

“Setelah mendapat perintah tersebut, Kedutaan Besar Malaysia telah membantu urusan dokumen perjalanan untuk Mala. Pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk tujuan pembelian tiket penerbangan Mala di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia di Luar Negeri (KWARM) dengan mengambil kira latar belakang keluarga beliau yang memang kurang berkemampuan.

“Tambahan pula, pendakwaan ke atas Mala ini adalah dibuat di bawah undang-undang imigresen Nepal. Sabjek tidak pernah pada mana-mana ketika, didakwa di bawah undang-undang pemerdagangan orang Nepal kerana sabjek dengan sukarela telah datang ke Nepal dan berkahwin secara adat di sana dengan warganegara Nepal,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk bersikap berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran ke luar negara daripada pihak ketiga terutamanya mereka yang tidak dikenali.

“Kerajaan Madani melalui Kementerian Luar Negeri memandang serius isu rakyat Malaysia dijadikan mangsa jenayah pemerdagangan orang di luar negara. Dalam hal ini, kementerian ingin menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa mengambil sikap berhati-hati sebelum menerima sebarang tawaran ke luar negara daripada pihak ketiga, terutamanya mereka yang tidak dikenali atau baharu dikenali, bagi mengelakkan diri sendiri dijadikan mangsa dan dieksploitasikan.

“Kami juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya memegang dokumen perjalanan seperti pasport dan visa yang sah dan tidak menyerahkan dokumen tersebut kepada mana-mana pihak dengan mudah begitu sahaja.

“Sekiranya anda percaya bahawa diri sendiri telah ditipu dan dieksploitasi, hubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia dengan kadar segera bagi mendapatkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit