Kebimbangan Terhadap Isu Lambakan Dalam Sektor Pembuatan… Hasni Dapatkan Penjelasan Dalam Parlimen

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad hari ini bertanya sejauh mana langkah yang dilakukan kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi menangani isu lambakan dalam sektor pembuatan.

Menurut beliau penyelesaian bersifat jangka masa panjang perlu dilakukan termasuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menangani isu tersebut.

“Kita tidak dapat mengelak daripada berlakunya lambakan dari masa ke semasa itu bukan subjek yang baru berlaku bila ekonomi bertambah baik.

“Adakah kementerian boleh bersetuju kalau sekiranya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih bersifat jangka panjang seperti menjalinkan R&D dengan industri-industri berkenaan, menjalinkan pemindahan ilmu yang biasa kita dengar?

“Adakah pendekatan tersebut boleh dilihat sebagai jalan penyelesaian jangka panjang untuk berhadapan dengan isu lambakan dari segi pelabur-pelabur dalam sektor pembuatan?” katanya.

Hasni berkata demikian pada di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab persoalan tersebut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan menerusi pertemuan dengan pelabur-pelabur termasuk dari China telah menjalankan usaha sama untuk menangani isu lambakan.

“Memang apabila kerajaan bertemu dengan pelabur-pelabur dari negara China, mesej atau pesanan kita ialah tidak masuk ke Malaysia hanya untuk berdagang atau hanya untuk membina kilang di sini tanpa nilai tambah.

“Ini tidak akan berjaya untuk syarikat tersebut kerana konteks global telah berubah terutamanya dalam konteks kerajaan Amerika Syarikat akan diterajui oleh Presiden Donald Trump.

“Mesej dan pesanan kerajaan ialah lebih baik kita ada perkongsian atau usaha sama yang lebih erat di antara syarikat China dengan syarikat Malaysia untuk menjana R&D untuk mengadakan usaha sama yang lebih membantu dua-dua pihak dan dengan lebih mendalam,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit