Tular Skandal Rasuah ADUN Sabah, Suhaimi Gesa Siasatan Menyeluruh Dijalankan
KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap isu skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang tular baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran menyokong kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beranggapan bahawa pendedahan tersebut harus diselidik oleh pihak berwajib.
“Selaras dengan kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, saya menyatakan sokongan penuh agar satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung skandal rasuah mengaitkan beberapa orang ADUN Sabah yang tular baru-baru ini.
“Pendedahan-pendedahan ini harus disiasat oleh pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pihak pemberi dan penerima rasuah demi memastikan keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan. Isu ini bukan sahaja melibatkan integriti, tetapi juga kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Negeri Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau turut mengecam tindakan segelintir pihak yang mengaitkan UMNO Sabah terhadap pendedahan skandal tersebut.
“Saya juga turut menyambut baik pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan ini.
“Selain itu, saya mengecam penyebaran maklumat yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang mengaitkan UMNO Sabah dengan penyebaran skandal-skandal ini. Saya menafikan sekeras-kerasnya.
“Akhir sekali, kita beri ruang seluas-luasnya dan hormat kepada proses siasatan. Ini agar siasatan mampu dijalankan secara tuntas, teliti dan adil mengikut lunas undang-undang tanpa gangguan,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Hajiji menyatakan pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berhubung rakaman audio dan video ADUN yang dikatakan membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Katanya, video yang disebarkan itu mungkin bertujuan untuk melemahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus yang dipimpinnya ketika ini. – UMNO Online