PRN Sabah: Kerjasama BN-PH Peringkat Nasional Perlu Dibawa Ke ‘Negeri di Bawah Bayu’ – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional perlu dibawa ke Negeri Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka bakal berlaku tidak lama lagi.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, perkara tersebut diperlukan untuk menjadikan ‘Negeri di Bawah Bayu’ sebagai salah satu komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

“Saya rasa sepatutnya kerjasama di peringkat nasional itu dibawa ke peringkat negeri pada PRN Sabah. Ini kerana rakyat mahukan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional itu terdiri daripada Negeri Sabah juga.

“Memang agak sukar tugasnya untuk melaksanakan kerjasama di antara BN dan PH di peringkat Negeri Sabah kerana kita tahu bahawa Sabah itu unik. Politik tempatannya juga agak unik,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau turut berpendapat bahawa kerjasama tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh berhemah agar tidak berlaku sebarang pertembungan.

“Tugas dan cabarannya agak besar tetapi pada hemat saya, tiada ada cara lain selain daripada BN dan PH bekerjasama, terutama sekali paling minimum ialah tidak berlaku pertembungan.

“Jadi, itulah kerjasama paling minimum dan mudah serta perlu dilakukan oleh pihak BN-PH samada di peringkat nasional ataupun di peringkat Sabah. Hakikatnya itu adalah kehendak yang paling minimum untuk mempamerkan kerjasama BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan BN dan PH sudah memuktamad kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata persetujuan antara BN dan PH itu menjadi asas kepada kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan UMNO/BN bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah akan datang untuk mewujudkan kerajaan baharu yang mampu mengeluarkan Sabah daripada terus menjadi antara negeri termundur di negara ini.

Jelasnya, langkah itu diambil berdasarkan keperluan untuk mencapai kesefahaman pada peringkat Persekutuan dan negeri dalam usaha membangunkan Sabah.

Beliau berkata, Sabah masih dibelenggu kemiskinan yang berlarutan sekian lama, dengan lapan daerah termiskin termasuk Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, dan Lahad Datu.

Walaubagaimanapun, BN tidak menutup pintu kepada mana-mana gabungan atau parti untuk bekerjasama dalam PRN Sabah ke-17 itu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit