Dakwaan Jual Tanah Kepada China Tidak Benar… Malah Kerajaan Negeri Beri Peluang Pekerjaan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menegaskan bahawa dakwaan Kerajaan Negeri Pahang menjual tanah Kepada China adalah tidak benar sebaliknya ia adalah tanah pajakan 99 tahun untuk kegunaan industri dan bukannya hak milik kekal.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma) berkata demikian untuk menbidas kenyataan dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu pada 15 November yang mendakwa Kerajaan Negeri Pahang telah menjual tanah kepada China susulan perjanjian jual beli tanah antara PASDEC Holdings Berhad (PASDEC) dan Petroluxe Refinery (M) Sdn. Bhd. (Petroluxe).

Tegasnya lagi, ia kekal di bawah pemilikan Malaysia dan tidak ada isu berkaitan pemindahan hak milik kepada mana-mana pihak asing. Tambahan pula, Petroluxe Refinery (M) Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat tempatan yang berdaftar di Malaysia dan pemegang saham majoritinya juga merupakan entiti tempatan.

“Tuduhan bahawa tanah dijual kepada China adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan. Dakwaan sebegini hanya membantutkan usaha Kerajaan Negeri Pahang dan Persekutuan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya menyeru semua pihak untuk melihat perjanjian ini sebagai langkah strategik bagi menjamin masa depan ekonomi Negeri Pahang. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kami sentiasa memastikan pelaburan yang diterima bukan sahaja menguntungkan negeri tetapi juga memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi.

“PASDEC menggunakan hasil daripada jualan tanah tersebut untuk mempercepatkan pembangunan projek perumahan mampu milik di Pahang. Ini adalah langkah yang tepat untuk memastikan rakyat Pahang bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan tetapi juga mampu memiliki kediaman selesa pada harga yang berpatutan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis menekankan bahawa pelaburan berskala besar seperti ini adalah pemacu utama kepada wujudnya peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.

Ujar beliau, ia turut membuka peluang kepada rakyat Pahang untuk menyertai pembangunan ekonomi hiliran melalui pelbagai sektor seperti kejuruteraan, pembinaan, dan logistik yang akan memberikan limpahan ekonomi berganda (multiplier effect).

“Projek ini dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM3 bilion bagi pembangunan kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia di Gebeng, Kuantan.

“Ia beri kesan positif kepada tenaga kerja tempatan seperti mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas, kejuruteraan, teknologi tinggi serta perkhidmatan sokongan.

“Peluang pekerjaan yang ditawarkan melibatkan pendapatan tinggi dan akan meningkatkan kemahiran serta daya saing tenaga kerja tempatan. Dalam jangka panjang, ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara mampan,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ketua UMNO Bahagian Lipis, beliau berkeyakinan penuh bahawa projek ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga kerja tempatan.

“Projek ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga kerja tempatan ke arah sektor teknologi tinggi dan industri bernilai tambah, sekali gus memperkukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat global.

“Ia akan menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga kerja tempatan ke arah sektor teknologi tinggi dan industri bernilai tambah, sekali gus memperkukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat global,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit