Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi: Cermin Pengiktirafan, Sokongan Kepada Usaha NGO – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Majlis Pelancaran Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi merupakan cermin pengiktirafan dan sokongan kepada usaha badan bukan kerajaan (NGO), kata Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Nasib Presiden UMNO berkata, program tersebut adalah hasil pemerhatian dan perbincangan pemimpin serta setempat untuk menyemai semangat kebersamaan.

“Semalam adalah malam yang penuh bermakna dan bersejarah kerana telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi yang turut disaksikan oleh wakil-wakil rakyat, wakil jabatan, persatuan, NGO serta masyarakat di kawasan parlimen Kota Tinggi.

“Program ini adalah hasil pemerhatian dan perbincangan wakil-wakil rakyat serta pemimpin masyarakat setempat yang merasakan betapa pentingnya untuk disemaikan masyarakat dengan perasaan kebersamaan, mengenali satu sama lain termasuklah sifat cinta bagi menjaga kawasan ini secara bersama-sama.

“Malah, program ini juga menjadi cerminan pengiktirafan dan sokongan segala usaha serta aktiviti yang ingin dijayakan oleh mana-mana persatuan atau NGO. Ia dilihat mampu membangunkan nilai, memberi manfaat serta memenuhi keperluan masyarakat di kawasan parlimen ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha untuk menjayakan program tersebut dan memberi jaminan untuk terus memberikan sokongan.

“Ini supaya pada akhirnya, Kota Tinggi bukan sahaja terkenal dengan makanan yang lazat atau sebagai kawasan tumpuan para pelancong, tetapi dikenali juga sebagai satu kawasan yang anggota masyarakatnya memiliki tahap kesukarelawanan dan kebertanggungjawaban yang cukup tinggi.

“Terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini. Saya beri jaminan akan menyokong apa sahaja program yang ingin dianjurkan, asalkan ianya mampu membawa kepada kemajuan dan kejayaan kepada masyarakat di Parlimen Kota Tinggi, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit