Siap Siaga Depani PRN Sabah: Jamal Nerubi Tegaskan UMNO Utuh, Semangat Perjuangan Membara

PAPAR, 15 Nov – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, menyatakan keyakinan tinggi terhadap kesiapsiagaan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau menegaskan bahawa kehadiran lebih 3,000 orang dalam program Gerak17 yang diadakan baru-baru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis memberikan gambaran jelas bahawa UMNO masih menjadi pilihan sekaligus mencerminkan semangat perjuangan yang terus membara dalam kalangan anggota parti.

Jelasnya, program tersebut merupakan satu platform penting untuk mengukur sejauh mana kesiapsiagaan jentera UMNO di peringkat bahagian, sambil melihat penerimaan rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Kehadiran yang begitu ramai ini memberikan petanda positif bahawa UMNO masih kukuh di hati rakyat. Semangat dan komitmen ahli parti untuk terus berjuang demi rakyat sangat jelas,” katanya.

Beliau menambah, UMNO bukan sahaja sebuah parti politik, tetapi juga sebuah gerakan yang berakar umbi dalam masyarakat.

“Semangat perjuangan kita untuk membela nasib rakyat, menjaga kepentingan agama, bangsa, dan negara tetap teguh. Walaupun cabaran besar menanti, kami di UMNO tidak akan goyah. Kita akan terus berjuang, bersama rakyat, demi masa depan yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Jamal juga menyatakan bahawa program Gerak17 yang telah dilaksanakan sebelum ini hanya melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis dan merupakan persediaan awal bagi menghadapi PRN Sabah yang bakal datang.

“Ini adalah langkah awal untuk memastikan setiap kawasan dapat digerakkan dengan penuh semangat. Kita mahu memperkukuhkan lagi jentera UMNO di setiap peringkat, dan lebih penting lagi, mempereratkan hubungan dengan rakyat. UMNO/BN adalah parti yang dekat dengan rakyat dan yakin bahawa parti ini adalah pilihan terbaik untuk kesejahteraan negeri dan negara.

“Kerjasama antara ahli parti, pemimpin, dan rakyat amat penting. Kejayaan UMNO/BN dalam PRN ini bukan hanya bergantung kepada kekuatan jentera parti, tetapi juga pada keyakinan dan sokongan rakyat yang terus setia bersama perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam menghadapi pilihan raya ini, UMNO Bahagian Papar komited untuk terus memperjuangkan suara rakyat, dengan semangat juang yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Kami percaya bahawa dengan sokongan padu daripada rakyat, UMNO akan terus maju dan membawa perubahan yang lebih baik untuk negeri Sabah,” tegas beliau lagi.
Terdahulu Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah melancarkan program Gerak17 bagi kawasan DUN N.29 Pantai Manis di Dewan Datuk Salleh Sulung pada Ahad lalu.

Dalam hal ini, Jamal turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, khususnya kepada ahli UMNO dan penyokong yang telah memberikan sokongan padu dalam acara tersebut.

“Saya amat menghargai kehadiran semua yang menyokong dan bersama-sama kami dalam usaha untuk memastikan UMNO terus berperanan dalam membela nasib rakyat. Tanpa sokongan anda semua, perjuangan ini tidak akan berhasil,” ujarnya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua UMNO Papar, Datuk Jamal Nerubi; Timbalan Ketua UMNO Papar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Tamin Zainal dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit