Kerajaan Sabah Diharap Lulus Peruntukan Baik Pulih, Naik Taraf Masjid Dan Surau Di Parlimen Beaufort

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, berharap agar kerajaan dapat meluluskan peruntukan untuk membina serta menaik taraf beberapa buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Beaufort.

Menurut beliau, permohonan ini adalah sangat mendesak kerana terdapat beberapa masjid dan surau yang sudah lama dibina, tetapi kini berada dalam keadaan uzur dan tidak dapat menampung keperluan jemaah setempat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berkata bahawa dalam butiran 4801 bagi pembinaan masjid, surau dan pembaikan naik taraf dengan nilai peruntukan sebanyak RM55 juta dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, diharap kawasan Parlimen Beaufort tidak akan terpinggir.

“Dengan jumlah peruntukan yang telah dibentangkan, saya berharap kawasan Parlimen Beaufort tidak akan terpinggir daripada menerima peruntukan tersebut, memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk membina dan menaik taraf beberapa buah masjid dan surau di kawasan ini,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Antara masjid dan surau yang memerlukan peruntukan, menurut Siti Aminah, adalah Masjid Nurhidayah Kampung Nukahan, yang dibina pada tahun 1970.

Ini kerana katanya, keadaan masjid ini semakin usang dan memerlukan pembinaan sebuah masjid baru di kampung tersebut.

“Selain usang, masjid yang sedia ada juga sudah tidak dapat menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat. Pembinaan masjid baru adalah sangat perlu, bukan sahaja untuk kegunaan masyarakat Islam setempat, tetapi juga untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang sering melalui jalan raya antara Beaufort dan Menumbok, di mana mereka boleh singgah untuk solat di masjid ini,” katanya.

Siti Aminah juga mengemukakan cadangan untuk membina atau membaiki Surau Kampung Bukit Nuri Menumbok dan pembinaan masjid baharu di Kampung Melikai Menumbok.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk membina sekolah KAFA (Kelas Agama dan Fardhu Ain) di beberapa buah kampung, antaranya Kampung Tanjung Aru Menumbok dan Kampung Berangkok Kuala Penyu.

“Kedua-dua kampung ini tidak mempunyai bangunan KAFA sendiri dan terpaksa menumpang di Balai Raya untuk menampung lebih 100 orang pelajar.

“Dalam butiran 4802 bagi Pembinaan Sekolah Agama, yang bernilai RM10,975,000 dalam Belanjawan 2025 tahun ini, menjadi harapan rakyat di kawasan ini agar sekolah KAFA baru dapat dibina.

“Kos pembinaan sebuah sekolah KAFA dianggarkan sekitar RM500,000, dan saya memohon agar Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dengan sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dapat mempertimbangkan permohonan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit