Jeffery Nor Sangkal UMNO Terlibat Sebar Skandal Rasuah, Seru Siasatan Dijalankan

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed menegaskan bahawa UMNO tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang dikaitkan dengan penyebaran skandal rasuah yang tular baru-baru ini.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui perkara tersebut melalui media dan menafikan dakwaan bahawa UMNO merancang atau terlibat dalam penyebaran skandal tersebut.

“Saya tetap menyangkal kenyataan ini sepertimana kawan-kawan saya dalam pimpinan UMNO bahawa kami tidak pernah bercerita hal ini dan tidak tahu hal-hal tersebut yang berlaku.”

Menurut Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, sebagai pimpinan UMNO, fokus utama adalah ke arah persiapan untuk menghadapi pilihan raya dan bukannya terlibat dalam urusan yang merosakkan kestabilan politik Negeri Sabah.

“Kami tidak pernah bercerita atau merancang apa-apa mengenai perkara ini. Kami hanya tahu daripada media, jadi bagaimana mungkin kami dikatakan sebagai dalangnya?” ujar Jeffery Nor dalam satu wawancara eksklusif bersama UMNO Online, hari ini.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan segera untuk menangani isu yang berpotensi merosakkan keharmonian politik di negeri itu.

“Saya menggesa agar pihak berkuasa atau pihak bertanggungjawab menyiasat perkara ini kerana ini telah menimbulkan ketidakstabilan kita di kerajaan Negeri Sabah. Kita tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan pemikiran politik seperti ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihak yang terlibat dalam rasuah, baik pemberi atau penerima, haruslah diambil tindakan.

“Seperti mana yang PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata, pemberi dan penerima (rasuah) mesti diambil tindakan, maka siasatlah… kalau betul maka betullah.

“Jangan ada mana-mana pihak membuat justifikasi ia bersalah atau tidak bersalah kerana kita ada mahkamah… biarlah mahkamah memutuskan siapa yang bersalah atau tidak bersalah.

“Untuk isu ini saya minta agar pihak berkuasa untuk mengambil pendekatan atau tindakan sewajarnya kerana sebagai rakyat Sabah saya mahu melihat negeri saya berada dalam keadaan aman dan stabil serta dipimpin oleh orang-orang yang benar-benar untuk rakyat.”

Beliau juga menyentuh tentang fenomena viral di media sosial yang semakin sukar dikawal.

“Sekarang ini semua perkara menjadi viral, termasuk dalam WhatsApp. Ini adalah realiti kehidupan kita, dan kita perlu menerima hakikat tersebut,” jelasnya.

Jeffery Nor turut menyatakan bahawa beliau sendiri pernah difitnah, namun percaya bahawa kebenaran akan terbukti.

Meskipun begitu, beliau menyeru agar semua pihak tidak terlalu cepat melenting dalam menanggapi dakwaan-dakwaan tersebut, dan lebih penting, memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus.

Terdahulu, beberapa hantaran di laman media sosial mendakwa laporan skandal rasuah membabitkan pemimpin politik kerajaan Negeri Sabah tular didakwa didalangi parti tertentu, khususnya UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.