Dira Turun Padang Santuni Rakyat Rim, Teruskan Aplikasi Ziarah Kasih

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar meneruskan politik khidmat bakti buat penduduk di kawasan dengan menyantuni rakyat melalui program- program yang hadiri serta pertemuan secara santai.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau meluahkan keterujaan apabila dapat bersama dengan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan yang ternyata penuh bersemangat dalam memanfaatkan peluang menimba ilmu.

“Melihat wajah-wajah penuh harapan dan semangat anak muda yang berusaha gigih mencapai kejayaan, terasa satu kebanggaan.

“Tahniah kepada semua pelajar cemerlang, usaha kalian membuktikan bahawa tiada yang mustahil bila ada tekad dan kesungguhan. Teruskan melangkah, kejayaan ini hanya permulaan,” katanya.

Terdahulu pada sebelah paginya, Khaidhirah yang juga Naib Ketua Bahagian Jasin berkesempatan melakukan ziarah kasih dari rumah ke rumah warga Rim yang berhadapan ujian kesihatan.

“Saya sempat ziarah kasih di sekitar DUN Rim, bertemu mata dan hati dengan warga setempat yang sangat kuat melawan sakit-sakit mereka.

“Ketika ziarah, dapat panggilan berita duka, mantan Imam 1 Masjid Al Hidayah, Jemiran Mohd Noor telah kembali ke rahmatullah.

“Kehilangan seorang yang dihormati dan disayangi ramai. Takziah buat keluarga arwah, semoga diberi kekuatan. Al-Fatihah untuk arwah, semoga damai di sana,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut sama turun padang ke Dewan Chohong yang bakal dinaik taraf menjadi pusat aktiviti komuniti dan pelbagai program untuk penduduk setempat.

“Saya datang ke Dewan Chohong yang baru bersama pihak Pejabat Daerah Tanah Jasin (PDTJ) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Dewan ini bakal menjadi pusat aktiviti komuniti dan pelbagai program untuk penduduk.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Semoga dewan ini membawa kemajuan dan perpaduan kepada masyarakat Chohong dan seluruh DUN Rim,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit