Ancam Kedaulatan Negara: Malaysia Perlu Saman Waris Kesultanan Sulu

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Malaysia perlu mengambil tindakan dengan mengemukakan saman tuntutan terhadap kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai pewaris Kesultanan Sulu kerana telah mencuba mengancam kedaulatan negara.

Ketua War Room Sekretariat Khas Sulu, Datuk Almalena Sharmila Johan berkata, tidak seharusnya berlaku lagi tuntutan yang sama pada masa akan datang memandangkan Perjanjian 1878 tidak boleh diterima pakai lagi.

“Saya rasa mereka fikir Malaysia adalah ‘an easy target’. Maknanya, mereka ingat kita ini tidak bersatu sebagai negara. Jadi mereka ingat akan mudah untuk mendapatkan Award US$15 bilion.

“Saya rasa tidak seharusnya ada lagi tuntutan sebab duit (kos) itu datang dari ‘third party funder’. Kalau merea tidak boleh dapatkan semula duit dari segi investment… pergi ke satu kes yang sudah tiada jalan lagi. Mahkamah Agung pun kata sudah tiada klausa, saya rasa kemungkinan (tuntutan semula) itu kurang.

“Mereka tidak boleh lagi menggunakan basis 1878 (perjanjian) sebab timbang tara klausa itu sudah tidak terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara di platform media sosial ‘Cikgu Undang-Undang’.

Sementara itu, Timbalan Ketua War Room Sekretariat Khas Sulu, Danesh Chandran berkata, semua pihak telah terlibat secara agresif untuk melawan kes ini di mahkamah timbang tara.

“Tentu sekali (saman mereka). Kita perlu mendapatkan semula apa yang telah dibelanjakan selama ini sehingga sekarang. Kes ini telah bermula pada tahun 2018. Secara agresif kita telah menggerakkan semua jabatan di bawah pimpinan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Semua pihak yang terlibat telah terlibat dengan agresif dari tahun 2022 dan saya boleh nyatakan dengan keputusan kita perolehi baru-baru ini, perkara ini ‘will be put to rest’.

“Kes ini perlu ditamatkan riwayatnya. Semua bidang kuasa yang menghormati proses timbang tara yang betul tidak seharusnya melayan satu kes remeh dan dimulakan dengan niat jahat. Terlalu banyak penyalahgunaan kuasa sepanjang proses ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kemenangan Malaysia terhadap kes tuntutan pewaris Kesultanan Sulu ini menjadi sejarah dalam bidang timbang tara dunia.

“Kita tidak akan dapat menghentikan sekiranya mereka ingin pergi ke mana-mana bidang kuasa lain. Tetapi, kemenangan yang kita perolehi hari ini adalah kemenangan kepada dunia alternative dispute resolution (ADR).

“Kita boleh katakan kemenangan ini adalah untuk menegakkan dan mengembalikan apa yang telah menjadi ancaman kepada dunia timbang tara.

“Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dan kepimpinan negara yang ada pada hari ini,” katanya.

Pada 7 November media melaporkan Kerajaan akan terus mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya untuk menghentikan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan undang-undang itu bertujuan melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

Katanya, Mahkamah Agung Perancis telah menolak sepenuhnya tuntutan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

September lalu, Mahkamah Agung Belanda juga menolak rayuan difailkan pihak Sulu terhadap Malaysia, sekali gus menamatkan cubaan pihak yang menuntut itu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.

Tuntutan itu adalah untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit