UMNO Perkukuh Sokongan Dengan Jalin Kerjasama Erat Bersama NGO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Nov – UMNO kini giat memperkukuhkan sokongan parti dengan menjalin kerjasama erat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperkuatkan asas perjuangannya, malah sebagai strategi penting untuk mengukuhkan kedudukan di kalangan masyarakat.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, usaha ini bukan sahaja melibatkan penerangan dan komunikasi dalaman kepada ahli parti, tetapi juga merangkumi kolaborasi dengan NGO yang memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Ujarnya, dengan hubungan yang lebih erat ini, UMNO berharap dapat memperluaskan jaringan sokongan di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa NGO merupakan kumpulan yang amat penting dalam membentuk sokongan masyarakat.

“NGO adalah kumpulan yang sangat penting. Jika mereka bersatu untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), ia akan menjadi kekuatan tambahan yang dapat memperkukuhkan lagi asas perjuangan parti dalam landskap politik semasa.

“UMNO bukan sekadar bergantung pada struktur dalaman parti seperti sayap, bahagian, cawangan, dan veteran, malah sokongan daripada NGO juga amat diperlukan untuk memastikan perpaduan yang kukuh serta menjamin kekuatan yang mantap dalam menghadapi pelbagai cabaran politik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Coffee Corner’ bertajuk ‘Dinamika Politik’, yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin; Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob, serta alumni Kelab UMNO Luar Negara (AKULN) dan NGO. Kata Ahmad, UMNO diharap dapat memperluaskan pengaruhnya di kalangan masyarakat melalui sokongan yang lebih padu daripada NGO.

“Kerjasama yang erat ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada UMNO dan BN dalam usaha mereka untuk mengekalkan sokongan rakyat,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit