Tahun Melawat Malaysia 2026: Mohd Shahar Cadang KLN Adakan ‘Education Diplomacy’

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mencadangkan Kementerian Luar Negeri (KLN) mengadakan ‘education diplomacy’ untuk menjayakan rancangan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Backbenchers turut mempersoalkan KLN mengenai perkara yang akan ditonjolkan semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.

“Saya nak tanya kepada kementerian apakah yang akan ditonjolkan dalam kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan adakah kita juga melibatkan anak-anak muda dalam Young ASEAN Programme? Ini kerana dalam setiap satu dekad barulah kita berpeluang sebagai pengerusi.

“Sudah semestinya ASEAN ini bukan tertumpu kepada polisi mereka sahaja ataupun implementor, tetapi juga harus merangkumi semua spektrum dalam negara kita.
Saya juga nak bertanya kepada kementerian apakah petunjuk prestasi yang diukur dan berapakah skor yang ketua perwakilan dapat untuk mencapai prestasinya.

“Sekiranya tidak dapat dicapai, apakah intervensi yang dibuat? Bagi saya, ketua-ketua perwakilan ini amat penting kerana mereka merupakan cerminan negara kita yang berada di seluruh dunia. Sekiranya prestasi ini tidak dinilai dengan efektif, saya bimbang kita tidak dapat ‘hold off nation’ yang berada di luar negara,” katanya ketika sesi perbahasan sebentar tadi.

Menurutnya, hubungan media dan diplomasi awam turut menjadi perkara penting untuk memastikan dasar-dasar Malaysia difahami oleh rakyat tempatan dan masyarakat luar.

“Saya juga ingin menyentuh berkaitan hubungan media dan diplomasi awam, program serantau, diplomasi awam dan penerangan. Perkara ini penting untuk kita memastikan dasar-dasar luar kita difahami bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi masyarakat rantau dan antarabangsa.

“Saya nak bertanya kepada kementerian berapakah banyak ‘travel advisory note’ yang diterima oleh negara kita setakat hari ini? Kita merancang untuk Visit Malaysia 2025 tetapi bagaimana kita hadapi keadaan keselamatan di laut?

“Kita sudah selamat tetapi bagaimana kita membuat advokasi? Saya nak mencadangkan supaya kita adakan ‘education diplomacy’ seperti yang saya telah cadangkan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa dengan adanya ‘education diplomacy’, ia mampu menjimatkan masa dan memberi kesan positif kepada negara.

“Ini kerana setakat hari ini kita ada lebih 150 ribu pelajar antarabangsa yang belajar di negara kita. Sudah semestinya berdasarkan pengalaman kita dahulu… apabila kita hantar rakyat Malaysia belajar di luar negara, mereka balik dan negara rujukan mereka adalah negara mereka belajar.

“Seharusnya kita mengambil ‘education diplomacy’ ini supaya KLN dapat koordinasikan dengan MITI bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya dasar yang kita ada ini dapat kita jelaskan kepada masyarakat antarabangsa yang belajar di negara kita ini selama empat ke lima tahun.

“Sekiranya ‘education diplomacy’ ini dapat kita perkasakan, saya yakin ia akan dapat menjimat masa kerana mereka berada di negara kita lebih kurang empat hingga lima tahun. Ada yang mencecah sepuluh tahun dan mereka gemar berada di negara kita. Sudah semestinya ia akan memberi kesan positif kepada negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit