ABU DHABI 13 Nov–Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah selamat tiba di Al-Bateen Executive Airport, Abu Dhabi dengan disambut mesra oleh Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE H.E. Suhail Mohamed Al Mazrouei serta Duta Besar Malaysia ke UAE, TYT Tengku Dato’ Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Lawatan ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022.