Rejim Israel Dikutuk, Tuntut Keadilan Serangan Terhadap Anggota Malbatt – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan meluahkan rasa marah dan kesedihan yang mendalam atas serangan tidak berperikemanusiaan oleh Israel yang telah mencederakan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang bertugas di bawah naungan Misi Pasukan Sementara (UNIFIL),Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon.

Katanya, tindakan ini jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan mencabuli hak asasi manusia serta maruah setiap anggota yang berdedikasi dalam memastikan keamanan global.

“Serangan menggunakan drone ini adalah bukti keangkuhan rejim Israel yang langsung tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan perjanjian keamanan yang dipersetujui di peringkat global.

“Malaysia mesti menuntut keadilan, dan kita harus bersatu padu dalam usaha mempertahankan prinsip kedaulatan dan hak asasi manusia. Serangan terhadap anggota Malbatt bukan sahaja menyerang mereka, tetapi ia adalah satu bentuk penghinaan kepada usaha Malaysia dalam mempromosikan keamanan dan keselamatan sejagat.

“Anggota Malbatt berada di sana bukan untuk berperang, tetapi untuk menjalankan misi mulia sebagai penjaga keamanan sejagat yang memerlukan keberanian, pengorbanan, dan dedikasi yang luar biasa. Menyakiti mereka adalah satu bentuk serangan yang tidak boleh dibiarkan tanpa balasan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor menuntut agar keadilan segera ditegakkan dan tidak membiarkan pelaku jenayah ini terus bertindak sewenang-wenangnya.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita terus berdoa untuk keselamatan semua anggota Malbatt dan semua pasukan keamanan PBB di seluruh dunia.

“Keberanian mereka adalah lambang maruah bangsa kita, dan kita akan memastikan suara kita tidak akan tenggelam dalam menuntut keadilan. Justeru, saya bersama-sama rakan Pemuda UMNO mendesak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Wisma Putera untuk bertindak segera dan tegas,” katanya lagi.

Tambah Shah Zanuriman lagi, Pemuda UMNO berdiri teguh di belakang anggota keselamatan, mempertahankan hak dan maruah mereka yang berani serta memastikan suara didengari di peringkat global.

“Kami juga menggesa agar sokongan padu diberikan kepada anggota dan keluarga mereka yang terkesan, serta jaminan keselamatan diperkukuhkan untuk pasukan Malaysia yang masih bertugas di medan.

“Isu ini mesti dibawa ke Majlis Keselamatan PBB tanpa berlengah, dan tekanan diplomatik maksimum perlu diberikan agar tindakan terhadap Israel boleh diambil,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan lima anggota pasukan batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 yang baru tiba di Selatan Lubnan cedera akibat terkena serpihan letupan.

Kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota batalion Malbatt 850-12 melalui sekatan jalan raya Tentera Lubnan melalui Awali di Sidon, Lubnan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit