Malaysia Teroka Kepakaran Luas UAE Guna Teknologi Urus Bencana Alam – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada lawatan kerja rasmi di Abu Dhabi berpandangan Malaysia perlu mempelajari amalan terbaik Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam kesiapsiagaan komprehensif mengendalikan pengurusan bencana negara.

Katanya ia membabitkan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang mempunyai kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata paling penting adalah dalam mempelajari teknologi terkini digunakan negara itu yang memungkinkan tindakan segera berdasarkan maklumat diperolehi.

“Kita juga memiliki teknologi tetapi lebih berfokus kepada sistem amaran awal untuk banjir, tanah runtuh, dan krisis lain seperti jerebu melalui kerjasama dengan negara jiran. Begitu juga dengan kebakaran hutan.

“Walaupun terdapat banyak perbezaan kita harus mempelajari sistem mereka. Mereka mempunyai pasukan elit yang kita panggil ‘Smart Team’. Pasukan mereka lebih canggih dan diketuai oleh Presiden sendiri, yang memberikan koordinasi yang lebih berkesan berbanding sistem kita walaupun suasana asasnya adalah sama,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut sama menyarankan agar program latihan dapat dilaksanakan bagi memberi peluang untuk belajar dan bertukar pengetahuan yang akan dibincangkan bersama Kementerian Luar Negeri serta beberapa agensi dan kementerian yang berkaitan.

Beliau juga turut berkata ini termasuk mempelajari penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) digunakan UAE yang sudah jauh kehadapan.

“AI mereka telah lama mendahului kita. Ini adalah sesuatu yang kita boleh pelajari, terutamanya dalam sistem komunikasi semasa krisis dan penglibatan kesukarelawanan.

“Mereka mempunyai jumlah sukarelawan yang besar, termasuk pekerja asing dari 120 negara dengan pelbagai bahasa, yang pastinya mencabar dari segi komunikasi ketika krisis. Namun, mereka mempunyai kaedah yang berkesan untuk berkomunikasi dengan kumpulan yang berbeza,” ujar beliau.

Selain sistem AI, katanya Malaysia juga boleh mempertimbangkan teknologi blockchain dan data besar yang telah dimulakan sebelum ini.

“Apabila kita menghantar pasukan ke Filipina baru-baru ini akibat taufan, kita menghantar helikopter EC25 dengan 12 kru termasuk juruterbang dalam tempoh kurang 12 jam. Ini semua dapat dilakukan hasil daripada kerjasama ASEAN serta permintaan segera dari menteri yang bertanggungjawab di sana,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid pada ketika ini dalam lawatan kerja ke UAE bagi pengurusan bencana, mempromosikan sektor halal, keusahawanan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan AI. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.