Kes Buli UPNM: Tiada Kompromi, MINDEF Akan Beri Kerjasama Untuk Tindakan Selanjutnya

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi dengan kes-kes buli yang berlaku di bawah akademi latihan ketenteraan (ALK).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MINDEF akan mengambil tanggungjawab dan menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“MINDEF mengakui dan mengambil tanggungjawab berkenaan kes-kes buli yang berlaku di bawah ALK melibatkan pegawai kadet. Kementerian ini tidak berkompromi dengan perilaku sedemikian dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan atau laporan dibuat.

“Saya memberi jaminan bahawa MINDEF akan memberikan kerjasama penuh untuk sebarang tindakan selanjutnya. Pada masa yang sama, MINDEF melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan turut melaksanakan siasatan dalaman di peringkat ALK- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) apabila wujud sesuatu aduan atau laporan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beberapa tindakan penambahbaikan sedang dilakukan untuk mengelakkan perkara yang sama berulang pada masa akan datang.

“Pihak ATM telah menambah perjawatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang ditugaskan di ALK-UPNM. Pertambahan perjawatan ini melibatkan penambahan pegawai dan LLP. Daripada 31 orang pegawai sebelum ini, ia telah ditambah kepada 48 orang pegawai dan daripada 124 orang LLP ditambah kepada 182 orang LLP.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 24 orang pegawai dan 48 orang LLP telah dilantik sebagai jurulatih. Pelantikan jurulatih ini untuk meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang Pegawai Kadet dengan nisbah 1:20.

“Penambahan jumlah jurulatih ini juga membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran Pegawai Kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil iaitu daripada empat Batalion kepada lapan Kompeni. Satu batalion dengan jumlah maksimum 320 Pegawai Kadet kepada satu kompeni dengan hanya 150 Pegawai Kadet untuk tujuan pemantauan yang lebih rapi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kementerian sedang merancang untuk menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di samping melakukan pemeriksaan fizikal berkala.

“Bermula bulan Febuari 2023, sebanyak tujuh CCTV di beberapa aras blok penginapan telah dipasang untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan. Kementerian sedang merancang untuk menambah jumlah ini mengikut keperluan dan kesesuaian.

“Larangan terhadap aktiviti penderaan sememangnya dikuatkuasakan dalam Perintah Tetap Pegawai Kadet sejak penubuhan ALK, yang sentiasa diulangi di dalam Perintah Harian Kompeni dan tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah.

“Pemeriksaan fizikal berkala kepada Pegawai Kadet untuk mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan juga akan dilakukan. Selain itu, sesi pertemuan di antara Pegawai Kadet dengan pihak tertinggi ALK-UPNM untuk mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan Pegawai Kadet bagi mengatasi isu keengganan Pegawai Kadet melapor kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.