Dasar Malaysia Bersahabat Semua Negara Langkah Terbaik – Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR, 14 Nov – Pengerusi Biro Profesional Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata pihaknya meneliti perkembangan semasa dunia diplomatik negara ini dan menyambut baik perkembangan terkini yang berlaku.
Menurut beliau kemenangan Donald Trump yang dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat tentunya akan menimbulkan pelbagai pertanyaan masyarakat umum dan sikap berkecuali serta bersahabat dengan semua negara yang diambil kerajaan sejak sekian lama adalah sebaiknya.
“Biro Profesional Muda Pergerakan Pemuda UMNO dari masa ke masa memerhati dan meneliti gerak kerja diplomatik Malaysia di bawah Kerajaan Madani, kerana ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan muda terlibat dalam pelbagai aktiviti rentas sempadan, sama ada di pendidikan tinggi di luar negara, perniagaan, perdagangan, aktiviti kebudayaan dan sebagainya.
“Justeru kami menyambut baik posisi dan polisi Kerajaan Madani yang terus mengekalkan status diplomatik Malaysia sebagai negara yang bersahabat dengan semua,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi di Facebook, semalam.
Kata beliau lagi Malaysia sebagai negara yang berlokasi di Selat Melaka, iaitu laluan perkapalan tersibuk di dunia, akan turut dipengaruhi keadaan geopolitik dunia dan negara juga menjadi salah satu negara Islam moderate yang dihormati oleh banyak negara.
“Ramai berandaian bahawa Malaysia akhirnya mungkin terpaksa memilih untuk condong ke salah satu blok kuasa besar dunia. Di bawah Kerajaan Madani, Malaysia masih mengekalkan posisi sebagai negara berkecuali dan bersahabat dengan semua pihak. Dalam masa dua bulan lepas, kita melihat upaya dan gerak kerja diplomatik PMX bagi menambahbaik hubungan dengan semua negara kuasa besar, serta mengekalkan posisi Malaysia sebagai negara berkecuali.
“Lawatan dan pertemuan rasmi dengan Presiden China, Rusia, India, dan juga pemimpin-pemimpin di negara Teluk telah memberikan indikasi bahawa Malaysia kekal berkecuali. Sebagai nota, Malaysia adalah salah satu negara awal yang terlibat dan menyertai Non-Aligned Movement (NAM) dan masih aktif sehingga kini.
“Minggu ini, delegasi Malaysia yang diketuai oleh PMX berada di Timur Tengah yang turut menyertai persidangan negara-negara Arab dan Negara OIC dalam membincangkan isu berkaitan serangan serta penindasan Israel terhadap Palestin dan Lubnan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kementerian Luar Negeri Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden UMNO terus memainkan peranan aktif dalam memelihara polisi geopolitik dan diplomatik Malaysia agar kita tidak ditekan atau condong ke mana-mana blok kuasa besar.
“Kerana itu, rakyat Malaysia masih bebas menyuarakan kutukan keras kepada Israel yang terus menindas rakyat Palestin. Suara diplomatik Malaysia terus diberi perhatian di pentas antarabangsa, dan kelihatannya Malaysia lebih tegas menyuarakan isu Palestin berbanding negara-negara Arab lain yang berjiran dengan Palestin,” ujarnya. – UMNO Online