Baitul Mahabbah: Program Komuniti, Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Baitul Mahabbah adalah sebuah program yang berasaskan komuniti dan menjadi alternatif kepada penahanan kanak-kanak, kata Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, inisiatif tersebut membolehkan Pemindahan Tahanan Kanak-kanak dari Depot Imigresen ke suatu premis lain di luar dari depot untuk kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun dan ke bawah bersama ibu atau penjaga mereka.

“Program berasaskan komuniti sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak memang sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri. Antara program terkini yang diperkenalkan adalah Projek Rintis yang dikenali sebagai Baitul Mahabbah.

“Baitul Mahabbah adalah satu inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2023 dan sehingga kini sebanyak lima Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dan satu lagi di Johor akan dibuka dalam masa terdekat.

“Program ini membolehkan Pemindahan Tahanan Kanak-kanak dari Depot Imigresen ke suatu premis lain di luar dari depot untuk kanak-kanak yang berumur sepuluh tahun dan ke bawah bersama ibu atau penjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengenai penahanan kanak-kanak bawah umur atas kesalahan imigresen.

Jelasnya, seramai 209 kanak-kanak dan penjaga telah ditempatkan di Baitul Mahabbah dan ia bersifat sementara sehingga proses penghantaran ke negara asal selesai.

“Baitul Mahabbah menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada tahanan kanak-kanak tersebut untuk memastikan perkembangan fizikal, mental dan emosi yang lebih sempurna.

“Sehingga 30 September seramai 209 orang kanak-kanak dan penjaga telah ditempatkan di Baitul Mahabbah. Walau bagaimanapun, penempatan ini adalah bersifat sementara sehingga proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan.

“Di samping itu juga beberapa sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara juga sedang dijalankan untuk meneliti pelbagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak melalui program berasaskan komuniti demi memastikan pelaksanaan program tersebut selari dengan perundangan serta peraturan yang sedang berkuatkuasa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa tiada program khusus untuk program komuniti kepada kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen di Jabatan Penjara Malaysia.

“Di Jabatan Penjara Malaysia, tiada program khusus bagi program komuniti kepada kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen.

“Walau bagaimanapun, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk mengintegrasikan semula banduan dalam masyarakat melalui program Pemulihan Dalam Komuniti mengikut syarat dan kelayakan tertentu,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit