Aplikasi AI Dalam Sistem Perundangan… Kerajaan Akan Lancarkan ‘Roadmap To My Digital Justice’ – Azalina

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kerajaan akan melancarkan ‘Roadmap to My Digital Justice’ pada tahun hadapan untuk mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem perundangan.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggunaan sistem AI dilihat dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menjimatkan tempoh masa.

“Kerajaan Madani sedar akan kepentingan sektor perundangan dalam negara kita dan perlu bergerak sejajar dengan perkembangan teknologi khususnya berkaitan penggunaan sistem teknologi AI yang semakin meluas dalam pelbagai sektor.

“Penggunaan sistem AI dalam perundangan dilihat dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memudahkan proses penggubalan perundangan dengan keupayaan data dan menjimatkan tempoh masa kerja yang digunakan.

“Dalam mengenali kelebihan penerimaan pakai teknologi AI seperti yang saya telah sebut banyak kali… bahawa secara peribadi, saya juga berpendirian bahawa AI tidak akan dapat mengambil alih peranan serta kelebihan manusia secara umum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Rakyat sebentar tadi, menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, kerajaan perlu bersedia dan membuat perancangan untuk mendepani kemajuan teknologi dan mengaplikasikannya.

“Walaubagaimanapun, memang kerajaan perlu bersedia dan membuat perancangan. Kalau kita tengok negara-negara lain selain daripada European Union terdapat juga sedikit sebanyak penggunaan AI iaitu di United States, Astonia, China, Brasil, Belanda, United Kingdom, Kanada, Singapura.

“Pemakaiannya tertakluk kepada aspek mahkamah, mahkamah kecil, tuntutan kecil ataupun persediaan dokumen, memberikan penilaian untuk bantuan guaman dan aspek merangka keputusan-keputusan dalam rumusan data-data yang begitu banyak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebarang polisi berkaitan pengaplikasian AI perlulah mengambil kira keterangan digital melibatkan kandungan sulit.

“Walaubagaimanapun, untuk makluman sebarang polisi khususnya berkaitan pemakaian AI dalam negara kita wajar mengambil kira cabaran-cabaran berkaitan pemakaiannya merangkumi isu kebolehan keterimaan keterangan digital yang melibatkan kandungan sulit.

“Dalam usaha ini pada tahun 2025 kerajaan akan melancarkan ‘Roadmap to My Digital Justice’ yang komprehensif dan khas bagi sektor perundangan dengan kerjasama semua pihak yang berkaitan termasuklah Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.