UMNO Sangkal Dakwaan Dalang Pendedahan Isu Rasuah Pemimpin Sabah Yang Tular Di Media Sosial

BEAUFORT, 13 Nov – UMNO tidak wajar dikaitkan dengan kes rasuah yang mengaitkan pemimpin tertentu di Negeri Sabah sebagaimana tular di pelbagai platform media sosial dan media cetak sejak beberapa hari lalu.

Ketua UMNO bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata isu ini mula tular apabila sebuah portal dalam talian berpengkalan di Kuala Lumpur melaporkan isu rasuah yang berlaku membabitkan pemimpin tertentu dan tidak pun menyatakan di negeri mana ianya berlaku.

“Jika pun ada ahli-ahli UMNO yang berkongsi kenyataan tersebut di media sosial, ianya perkongsian biasa yang tidak pun menyentuh mana-mana pihak, justeru kenapa pula harus dikaitkan isu ini dengan dalang oleh UMNO?” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Malahan, menurut beliau, beberapa portal dalam talian berpengkalan di Kuala Lumpur turut menyiarkan rakaman video bersama individu yang ada kaitan dengan kes ini.

Sambil memetik peribahasa ‘kalau tiada angin masakan pokok bergoyang’, Awang Aslee berkata isu yang tular ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sekiranya ada laporan.

“Jika benar-benar berlaku melibatkan pemimpin di negeri ini dan ada laporan, sudah tentu pihak berkuasa akan menyiasat dan heret mereka ke muka pengadilan. Justeru kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan memandang serius isu ini,” katanya.

Menurut Awang Aslee, negeri ini perlu bebas dari kes-kes rasuah sebagaimana iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad untuk terus membanteras amalan rasuah dalam pentadbiran.

“Saya mengingatkan beberapa individu di negeri ini, terutamanya tentera siber (cyber trooper) upahan dari parti tertentu agar tidak mengaitkan UMNO sebagai dalang dalam pendedahan kes rasuah, agar tidak menangguk di air keruh dengan kenyataan dan infografik mengaitkan pemimpin UMNO,” katanya.

“Sekiranya SPRM capai keputusan dan tiada masalah, ‘so be it’. Sekiranya SPRM rasakan ada sesuatu, ambil tindakan. Jangan timbulkan persepsi selagi hasil siasatan belum selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan tular rakaman audio Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Beliau berkata pihaknya maklum isu berkenaan audio terbabit didakwa berkaitan dengan beberapa ADUN dari negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri meminta pihak berkaitan untuk menyiasat perkara terbabit.

“Ini kita minta pihak berkuasa menyiasat. Kita akan bagi kerjasama tapi siasat juga (pihak berkaitan) yang memberi rasuah itu.

“Pemberi rasuah mempunyai niat tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.

“Apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio). Jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu,” katanya ditemui selepas Pelancaran Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd, kelmarin. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit