RUU Belanjawan 2025 Lulus Demi Manfaat Rakyat, Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) yang telah diluluskan semalam menunjukkan sokongan ke arah mengangkat aspirasi rakyat.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ia sekaligus akan memacu masa hadapan negara yang lebih progresif.

“Saya telah menghadiri sesi Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat.

“Alhamdulillah, setelah melalui sesi perbahasan yang menyeluruh sejak 21 Oktober lalu, RUU Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) telah diluluskan di peringkat dasar melalui undian suara.

“Keputusan ini mencerminkan sokongan yang kuat terhadap setiap inisiatif dan langkah yang dirangka demi manfaat rakyat dan kemajuan negara.

“Saya berharap agar peruntukan yang diluluskan ini akan terus dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, selain memberi impak positif terhadap ekonomi negara secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Dewan Rakyat pada semalam meluluskan RUU itudi peringkat dasar selepas dibahaskan sejak 21 Okt lepas.

RUU yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 18 Okt itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.