Program Kelestarian Felda Beri Manfaat, Perlu Penelitian Jayakan Sasaran – Ahli Parlimen Tenggara

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib melihat Program Kelestarian Felda merupakan salah satu pendekatan yang cukup baik namun ianya memerlukan beberapa penjelasan daripada pihak kerajaan agar benar-benar dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurut beliau pelbagai program yang dilaksanakan sebelum ini dan perancangan yang akan datang seharusnya bukan sahaja mengambil kira tahap kepuasan ataupun kejayaan sebelum malah jauh lebih daripada itu untuk kepentingan bersama.

“Program kelestarian Felda, daripada RM1.24 bilion kepada RM1.9 bilion, ia menurun sedikit. Jadi persoalan daripada Tenggara adalah adakah pencapaian yang telah dicapai melalui program kelestarian Felda yang telah dilaksanakan sepanjang 2023, 2024, dan apakah sebenarnya perancangan yang teliti untuk dilaksanakan pada tahun 2025.

“Adakah pihak Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal Felda ini ada melakukan kajian terhadap tahap kepuasan peneroka Felda, warga Felda sama ada generasi yang pertama ataupun generasi baharu berkaitan dengan perlaksanaan-perlaksanaan ini. Saya ambil contoh, Tenggara ambil contoh adalah berkaitan dengan projek model baharu Agrobank yang melibatkan nilai RM19.9 juta, 69 projek berkaitan dengan tiga jenis perkara yang hendak diusahakan pertanian iaitu nenas MD2, tanaman halia dan Fertigasi.

“Saya merupakan anak peneroka Felda Pengeli Timur di Johor, saya pun masih belum nampak lagi hasil-hasil yang boleh kita banggakan dan daripada 307 tanah rancangan Felda, berapa banyakkah rancangan Felda yang telah terlibat dengan tanaman MD2, halia dan juga Fertigaasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, petang tadi.

Manndzri seterusnya menambah apa yang diharapkan daripada segala perancangan dan segala bentuk pelaksanaan biarlah benar-benar memberi manfaat kepada warga peneroka dan tidak mengulangi sejarah hitam sebelum ini.

“Saya harap perlaksanaan ini supaya tidak mengulangi sejarah-sejarah hitam yang pernah dilaksanakan oleh Felda sebelum ini, contohnya termasuklah dengan skim insentif usahawan Felda dan juga gedung makanan negara, supaya konsep bimbing selia itu berterusan ianya mestilah diperkenalkan dan diutamakan dalam perlaksanaan ini supaya perkara yang hendak dicapai melalui program contohnya macam projek model baharu Agrobank ini boleh benar-benar memberi manfaat kepada warga Felda.

“Ia juga perlulah melibatkan bimbingan selia ini ini pihak institusi, contohnya IPTA, IPTS dan juga Kementerian Keterjaminan Makanan supaya boleh membimbing benar-benar projek ini supaya lebih berjaya. Dan saya difahamkan juga dalam butiran ini ada projek komersil rintis bernilai RM50 juta, diberikan RM10 juta, RM10 juta kepada Felda Bukit Rokan, Felda Pasak, Felda Itam, Felda Sahabat, Felda Perasu.

“Saya harap supaya ia juga sebagaimana saya sebut tadi, tidak mengulang kegagalan-kegagalan yang pernah dilaksanakan oleh oleh Felda sebelum ini,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit