Mohamad Hasan Santuni Pelajar Negeri Sembilan Di Kaherah

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memanfaatkan keberadaan di Kaherah sempena Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dengan menyantuni para pelajar Negeri Sembilan.

Diadakan di Rumah Negeri Sembilan, peluang tersebut dimanfaat oleh para pelajar bagi beramah mesra dengan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Pertemuan tersebut menyaksikan pelbagai perkara disentuh termasuk pesanan Mohamad yang berharap para pelajar fokus dalam pelajaran mereka.

“Alhamdulillah, selesai menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, kembali semula ke Kaherah.

“Sempat singgah di Rumah Negeri Sembilan dan berjumpa serta beramah mesra dengan pelajar2 anak Negeri Sembilan. Berpesan agar sentiasa menumpukan keutamaan kepada pelajaran dan menjaga nama baik negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Rembau itu juga merakamkan penghargaan kepada Atache Pelajaran Negeri Sembilan, Mohd Auf dan rakan-rakan yang mengumpulkan anak-anak Negeri Sembilan dan mengadakan pertemuan tersebut.

Turut hadir sama Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tariq.

Terdahulu Mohamad mengiringi Perdana Menteri ke Kaherah bagi lawatan rasmi empat hari ke Mesir yang bermula Sabtu hingga 12 November.

Gerak kerja pertama di Mesir telah dimulakan dengan kunjungan hormat Perdana Menteri ke atas Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit