Malaysia Tegas Dan Komited Perjuangan Palestin, AAKRP Fokus Kemanusiaan – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Malaysia terus bersuara lantang memperjuangkan pembebasan hak mutlak rakyat Palestin ke atas tanah mereka yang dirampas mesti dikembalikan sepenuhnya, demikian tegasnya Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Katanya, dari segi bantuan kemanusiaan sejak Oktober 2023 sehingga kini, Malaysia bersama-sama badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah menyalurkan lebih 5,000 tan bantuan ke Gaza melalui sempadan Rafah, yang memberi manfaat kepada jutaan rakyat Palestin.

Jelasnya, sumbangan dan bantuan daripada Malaysia ini disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

“AAKRP telah membelanjakan dana berjumlah RM44,745,115.99 kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NGO tempatan, dan lain-lain agensi.

“Pertubuhan Antarabangsa/Serantau seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA); Kedutaan Besar Malaysia dan Unit Hal Ehwal Palestin (UHEP) di Amman, Jordan.

“Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan di bawah Ops Ihsan dengan penumpuan awal kepada projek kesinambungan hidup; Badan-Badan Bukan Kerajaan atau Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Jordan, Mesir serta Palestin dan Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan bagi penyelenggaraan tahunan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian semasa Kerajaan Malaysia berserta bentuk-bentuk bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan dan berapa kos yang telah diperuntukkan tahun 2023-2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza sejak Perang Hamas-Israel yang bermula 7 Oktober 2023 sehingga kini.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata situasi kini semakin mencabar setelah pintu sempadan Rafah ditutup sejak 7 Mei 2024.

“Satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui Jambatan Raja Hussein di Jordan. Malaysia kini mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Jordan dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan.

“Malaysia bekerjasama erat dengan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC), untuk merawat rakyat Palestin yang menghidap kanser. Selain itu, 57 airdrops yang ditaja oleh Kerajaan Malaysia telah berjaya dilaksanakan oleh Tentera Udara Jordan,” katanya lagi.

Tambah Mohamad lagi, bagi bantuan pasca konflik dan jangka panjang sudah pastinya sokongan berterusan Malaysia termasuk projek pembangunan semula akan dijalankan secara kolektif melalui usahasama oleh Kerajaan Malaysia, NGO tempatan dengan beberapa rakan penaja setelah konflik di Palestin ini reda.

“Selain daripada bantuan kemanusiaan ke Gaza, Malaysia juga menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di Malaysia. Dana AAKRP juga diberikan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi bagi kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup untuk pelajar-pelajar Palestin yang melanjutkan pengajian di Malaysia.

“Institusi Pengajian Tinggi Awam membiayai yuran sepenuhnya bagi rakyat Palestin, manakala, Institusi Pengajian Tinggi Swasta memberi diskaun terhadap yuran pengajian sejak Oktober 2023,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit