Majlis Ulama UMNO Tegas Tolak Ekstrem Dan Fanatik, Kecam Penggunaan Agama Untuk Kepentingan Politik

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad, menegaskan bahawa kerajaan perlu tegas membanteras sebarang unsur pelampau dan sikap buruk sangka yang boleh menggugat keharmonian negara.

Menurut beliau, dalam hal ini UMNO dengan tegas menolak sebarang bentuk ekstremisme agama sebagaimana yang didukung pimpinan Pas.

“Gerakan pelampau, ekstrem dan sikap buruk sangka ini perlu ditangani dengan serius oleh kerajaan dan pendekatan ini amat penting demi kesejahteraan rakyat.

“Majlis Ulama UMNO mendapat kerjasama erat daripada kalangan ulama dan agamawan dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya dari Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam usaha menegakkan kesederhanaan.

“Kami melihat manhaj Presiden Pas yang semakin menonjol dan kasar, menggalakkan taksub serta fanatik dalam kalangan pengikut. Ini jelas menjejaskan perpaduan dan mengundang pelbagai cerita yang tidak berasas,” kata beliau kepada UMNO Online di sini.

Dusuki menambah, UMNO berpendirian tegas dalam menentang segala bentuk gerakan melampau yang mengancam kestabilan negara.

“Memerangi ekstremisme merupakan tanggungjawab kerajaan yang harus diteruskan sepanjang zaman,” tegasnya.

Pada masa yang sama beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Tumpat mempertikai kesahihan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan beliau pernah bertemu Rasulullah SAW dalam mimpi.

Namun, beliau mengingatkan bahawa mimpi hanyalah permainan minda dan tidak wajar dijadikan alasan untuk menguatkan pengaruh politik atau keagamaan.

“Kisah Presiden Pas yang menguar-uarkan berjumpa Rasulullah adalah bertujuan menanam dalam diri pengikut-pengikutnya di kalangan orang Melayu dan ahli Pas untuk melahirkan perasaan fanatik dan taksub kepada beliau dan parti.

“Bagi orang kampung, orang yang sederhana dan begitu sayang dengan agama bahawa mimpi ini adalah yang dianggap sebagai ulama tetapi kadang-kadang orang lupa bahawa mimpi ini adalah satu mainan yang boleh dianggap sebagai untuk melemahkan Islam.

“Cuba lihat pemimpin-pemimpin dari ajaran yang salah (sesat) seperti Ayah Pin, Al-Arqam dan sebagainya acap kali berjumpa dengan Rasulullah dan anehnya masyarakat boleh percaya serta patuh dengan kata-kata itu kerana dianggap sebagai orang yang hampir dengan Nabi,” katanya lagi.

Seterusnya beliau menyeru agar pemimpin Pas dan masyarakat amnya lebih berhati-hati dan tidak menggunakan mimpi berkaitan Nabi untuk tujuan peribadi atau politik.

Ini kerana katanya, tindakan ini boleh dianggap mempermainkan agama dan mencemarkan imej Islam. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.