KPWKM Tingkat Penguatkuasaan Di Taska, Cegah Pengabaian Kanak-Kanak – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) sentiasa mengambil insiatif berterusan dalam usaha mengurangkan risiko berlakunya kes melibatkan kecuaian, pengabaian dan penderaaan kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata JKM telah menguatkuasakan garis panduan khas tindakan penguatkuasaan ‘Lak’ dan perintah penutupan ke atas taman asuhan kanak-kanak serta pusat jagaan yang dalam siasatan polis.

“Garis panduan khas ini adalah untuk memastikan tindakan segera dan tegas terutamanya bagi kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak atau penghuni di premis tersebut.

“Sebanyak 23 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah garis panduan ini. Tindakan ini merangkumi 14 tindakan Lak (sealed) ke atas taska tidak berdaftar dan sembilan tindakan perintah penutupan sementara ke atas taska berdaftar,” katanya.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan statistik kes penderaan bayi di pusat asuhan di seluruh negara dan apakah langkah pengawalan agar kejadian penderaan tidak berulang.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menjelaskan KPWKM dan JKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai usaha untuk mencegah serta mengurangkan risiko daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini di taska seperti penderaan, pengabaian atau kecuaian.

“Garis panduan keselamatan kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak berdaftar yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2024 mengarahkan pegawai diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke taska bagi memastikan semua ‘standard’ minimum yang ditetapkan oleh akta dan peraturan dipatuhi.

“Melaksanakan program kesedaran dan advokasi masyarakat agar menjadi agen ‘mata dan telinga’ JKM untuk melaporkan kejadian-kejadian yang disyaki melanggar akta dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Sehingga 5 November 2024, sebanyak 327 buah sekolah terpilih di seluruh negara telah terlibat dalam program advokasi perlindungan kanak-kanak. Kasih kanak-kanak melibatkan 174,079 peserta dan menyediakan perkhidmatan Talian Kasih 15999 yang membolehkan sebarang aduan penderaan dilaporkan pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Tambah Ketua Wanita UMNO Malaysia lagi, taska yang berdaftar bukan sahaja boleh memastikan kualiti dan standard asas perkhidmatan yang disediakan oleh premis tetapi juga dapat mengurangkan risiko berlakunya kecuaian dan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Kerjasama semua pihak termasuklah ibu bapa dan orang awam untuk melaporkan kewujudan taska tidak berdaftar.

“Keperluan pendaftaran ini adalah demi memastikan taska beroperasi mengikut standard dan amalan terbaik bagi mengurangkan risiko kepada insiden yang tidak diingini serta keselesaan dan keselamatan anak-anak,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit