Tauladan Kes Sulu: Kestabilan Politik Mampu Pelihara Kedaulatan Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said beranggapan bahawa kestabilan politik terbukti mampu memelihara kedaulatan negara.

Ini kerana katanya, ketika pewaris Kesultanan Sulu mengemukakan tuntutan terhadap Negeri Sabah, Malaysia sedang berada dalam keadaan tergugat dan ia menjadi punca keberanian mereka.

“Saya terpanggil nak memberi komen sebab saya tahu pada tahun 2018 sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kita bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali. Kestabilan politik tidak ada dan saya membuat konklusi bahawa ia menjadi salah satu daripada punca keberanian mereka.

“Pada ketika itu mereka tahu bahawa kita tengah tergugat. Bertukar-tukar Menteri Luar, Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara, maka mereka mengambil kesempatan supaya… kalau mereka boleh ‘hit and run’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara di platform media sosial ‘Cikgu Undang-Undang’.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, kumpulan yang mendakwa mereka adalah pewaris Kesultanan Sulu ini licik dan mempunyai strategi tersendiri untuk mengganggu-gugat kedaulatan negara.

“Mungkin mereka ada strategi tersendiri. Itu tanggapan saya apabila terlibat dalam kes ini, tetapi yang saya tidak boleh menerima sehingga sekarang ialah sepatutnya sebagai ‘alternate dispute resolution’ (ADR) yang kita tahu dalam semua perjanjian antarabangsa ada klausa untuk timbang tara.

“Objektif utama timbang tara ialah supaya ia tidak dibawa ke mahkamah sebab memakan masa dan kos terlampau tinggi. Pergi kepada mahkamah timbang tara untuk perdagangan sebab ia lebih mudah dan lebih pantas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa tindakan yang dilakukan oleh mereka adalah berniat jahat kerana menipu termasuklah dalam proses prosedur.

“Saya tahu sebagai ADR, kedua-dua pihak perlu setuju. Jadi kalau pun mereka pergi ke Madrid atau Sepanyol, bukankah ciri utama ialah Malaysia kena bersetuju dengan mereka?

“Mereka menipu termasuklah dalam proses prosedur. Mereka mempunyai pendekatan yang berniat jahat. Selalunya ADR bersetuju tetapi tiba-tiba dalam kes ini kita terikat dengan timbang tara dan mahkamah. Sepatutnya ada perbincangan dahulu sekiranya kedua-dua pihak bersetuju,” katanya lagi.

Pada 7 November lalu media melaporkan bahawa Azalina memaklumkan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Beliau menyifatkan ia sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

Azalina menyambut baik keputusan bersejarah yang dibuat oleh Mahkamah Agung Perancis itu dan menyifatkan ia sebagai kejayaan amat bermakna bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian proses timbang tara antarabangsa sebagai satu alternatif dalam penyelesaian pertikaian.

Walau bagaimanapun kerajaan akan terus mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya untuk menghentikan tuntutan waris Kesultanan Sulu bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit