Ahmad Zahid Bertemu Ahli-ahli Parlimen BN, Rai Semangat Kebersamaan

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan bersama Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan pertemuan makan tengah hari tersebut sebagai medium terbaik merapatkan ukhuwah di antara wakil rakyat BN di samping melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Alhamdulillah, pada jeda waktu yang ada, tengah hari ini saya berkesempatan untuk meluangkan masa bersama Ahli-ahli Parlimen BN yang hadir untuk menikmati makan tengah hari bersama.

“Momen sebegini pastinya mengukuhkan lagi silaturahim dan semangat kebersamaan kami dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat serta negara,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 telah bermula pada 14 Oktober hingga 12 Disember iaitu selama 35 hari.

Persidangan kali ini menyaksikan pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tumpuan utama dengan tema “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Belanjawan kali ini merupakan ketiga yang digarap Kerajaan MADANI dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum menginjak ke RMK13 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu menerusi perkongsian berbeza, Ahmad Zahid berkongsi kehadirannya pada sesi pembentangan Pelan Strategik Penyelaras Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Parlimen yang bertujuan untuk memperkukuh dan memantapkan sektor TVET sebagai pilihan utama golongan muda negara.

Katanya dalam usaha ini, kerajaan mahu memastikan bahawa TVET tidak sekadar laluan pendidikan alternatif tetapi juga sebagai pemangkin kerjaya di masa hadapan yang relevan dan berdaya saing dalam sektor ekonomi serta industri negara.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri telah memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam memperkasa bakat tempatan melalui peningkatan peruntukan TVET kepada RM7.5 bilion dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.

“Peningkatan ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu meningkatkan kerjasama dengan industri, memperluas peluang latihan kepada belia rentan termasuk dari golongan miskin bandar dan luar bandar dan membawa khidmat TVET untuk manfaat masyarakat secara keseluruhan.

“Melalui TVET, kita ingin membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang relevan dengan kehendak industri. Ini selaras dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pendidikan dan latihan teknikal yang responsif, fleksibel dan inklusif bagi mencapai hasrat Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan modal insan yang berkemahiran,” ujar beliau. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.