Jalaluddin Mohon Segerakan Naik Taraf Hospital Baharu Jelebu, Atasi Kesesakan Pesakit

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan harapan beliau dengan pembinaan hospital baharu Jelebu bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di kawasan ini.

Menurut beliau ini kerana hospital tersebut kini tidak dapat memberikan perkhidmatan utama iaitu pembedahan ekoran dewan bedah asal hospital ini terletak dalam bangunan yang berusia 128 tahun.

“Ia disebabkan infrastrukturnya tidak menepati piawaian asas sebuah dewan bedah maka kes pembedahan idak selamat untuk dilaksanakan dan semua kes yang melibatkan pembedahan perlu dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS).

“Sebagai hospital daerah yang telah menjadi kluster HTJS sejak dari tahun 2018, terdapat peningkatan bilangan pesakit yang hadir ke Klinik Pakar dan wad setiap hari,” katanya pada sidang Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Jalaluddin dalam pada itu berkata ruangan sedia ada juga tidak mampu untuk menampung operasi rawatan, klinik pakar, konsultasi dan penyimpanan rekod.

Malah kata beliau lagi ruangan sedia ada beroperasi di kawasan Jabatan Kecemasan yang sangat sempit dan kurang privasi untuk pesakit.

Bagaimanapun, Jalaluddin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri pada pembentangan ucapan Belanjawan 2023 yang telah mengumumkan kerja awalan untuk menaiktaraf 26 hospital termasuk Hospital Jelebu.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenalpasti enam lot tanah milik persendirian yang berkeluasan 42.103 ekar bagi pembinaan Hospital Jelebu (gantian) yang terletak 1 kilometer dari hospital sedia.

“Hospital gantian ini adalah sangat diperlukan dan sekurang-kurangnya perlu mempunyai 76 katil termasuk wad intensif serta sebuah bilik bedah. Hospital sedia ada boleh terus beroperasi sebagai Pusat Rawatan Pemulihan Post Stroke dan Geriatric dengan menggunakan konsep mendapatkan bekalan diet pesakit dari Unit Sajian dan Dietetik Hospital Jelebu (gantian).

“Besar harapan saya jika projek Hospital Jelebu ini dapat disegerakan memandangkan terdapat keperluan yang mendesak daripada rakyat Jelebu itu sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit