Perintah Bela Diri Ruang Najib Razak Untuk Pertahankan Diri – Azhari

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap perintah bela diri yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada minggu lalu akan memberikan keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata ini kerana, meskipun berdukacita dengan keputusan tersebut namun menghormati ketetapan mahkamah.

“Daripada sisi konteks akar umbi UMNO memang rata-rata agak dukacita dengan keputusan itu.

“Apapun kita tetap menghormati keputusan mahkamah dan secara positif kita melihat bahawa ini adalah masa untuk Datuk Seri Najib pertahankan diri.

“Jadi tak semestinya kalau ada kes prima facie itu, seseorang itu tidak boleh lepas daripada didakwa. Ini adalah peluang untuk Datuk Seri Najib untuk membela tentang segala apa yang berlaku di atas beliau,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu meluahkan kepercayaan bahawa perintah bela diri tersebut akan membuka lebih banyak kebenaran dan berupaya membuka mata masyarakat bahawa Najib dianiaya.

“Saya yakin dan percaya lebih banyak perkara yang boleh dibongkar yang mungkin hari ini dengan pembelaan diri ini mungkin dapat membuka lebih banyak mata masyarakat bahawa Datuk Seri Najib di pihak yang benar.

“Kita harap begitu dia boleh memprojekkan diri sebagai orang yang telah dianiaya oleh orang-orang yang dipercayai.

“Jadi kita harap pada kes kali ini perbicaraan ini biarlah nampak lebih adil, telus dan dapat kemukakan saksi-saksi yang benar, relevan, benar-benar terlibat secara langsung dalam kes ini supaya mereka dapat memberi manfaat kepada Datuk Seri Najib untuk pertahankan diri,” ujar beliau.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada Rabu minggu lalu memerintahkan Najib membela diri atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1MDB.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit