‘Mereka Yang Tertewas’ Contoh Terbaik Angkat Karya Kesusasteraan – Hasnal Rezua Merican

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Filem ‘Mereka Yang Tertewas’ arahan Zulkifli M. Osman merupakan salah satu contoh terbaik untuk mengangkat karya kesusasteraan dan diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih muda difahami oleh masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merica berkata, tindakan pihak produksi tersebut sangat berani dan sepatutnya diberikan pujian.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penerbit dan seluruh kru… daripada penghasilan sehinggalah lakonan dalam filem ini. Bagi saya, ia sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton.

“Saya rasa filem ini adalah satu contoh yang baik, melihat kepada bagaimana satu filem dari hasil karya seni, kesusasteraan diangkat ke bentuk filem dan ia amat jarang berlaku.

“Sebenarnya, daripada teks asal satu sastera diangkat ke filem… hanya mereka yang berani mencuba akan melakukannya. Sebab itu saya ucap tahniah kepada pihak penerbit kerana berani,” katanya.

Ujarnya, teks yang dijadikan sebagai adaptasi dalam filem ini kekal kepada latarnya berkisarkan tahun 80-an.

“Saya harap selepas ini banyak lagi teks-teks kesusasteraan Melayu diangkat dalam bentuk filem. Saya cuma nak mengatakan bahawa teks (novel) ini diikuti dengan begitu rapat oleh filem ini.

“Filem ini juga tidak cuba untuk menjadikan teks tersebut kontemporari. Ia kekal pada zaman teks itu ditulis. Jadi saya percaya ramai penonton di kalangan anak muda yang tidak melalui era penghujung 70-an dan awal 80-an.

“Zaman itu yang dipersembahkan dalam filem ini. Apabila berlakunya gelombang kebangkitan Islam untuk mengubah gaya hidup orang Melayu dan filem ini menunjukkan bagaimana mereka yang membawa misi gelombang kebangkitan Islam itu akhirnya berjaya meyakinkan masyarakat sekeliling bahawa satu perubahan gaya hidup perlu dilakukan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar medium perfileman akan terus digunakan untuk mendidik masyarakat.

“Selain itu, saya ingin menyimpulkan bahawa sinematografi filem ini amat berjaya. Begitu juga dengan penataan seni. Ia mengekalkan satu situasi, sehingga penonton merasakan mereka sedang berada di era 80-an.

“Jadi, saya harap medium perfileman ini digunakan lebih banyak untuk memberi ilmu, mengajar dan mendidik masyarakat, seperti yang filem ini berjaya lakukan. Saya juga berharap film ini menjadi tontonan anak-anak muda, terutamanya mereka yang lahir di pertengahan 80-an dan ke atas yang tidak melalui zaman itu.

“Datanglah beramai-ramai untuk menonton filem ‘Mereka Yang Tertewas’ ini. Ia akan memberi peluang untuk anda menjenguk ke dalam satu era yang anda tidak pernah lalui. Itulah susur-galur perjuangan agama dan bangsa yang pernah dilalui oleh mereka daripada generasi terdahulu. Kita angkat dan kita raikan bersama-sama,” katanya lagi.

Filem ‘Mereka Yang Tertewas’ arahan Zulkifli M. Osman telah mula ditayangkan di seluruh negara pada 7 November dan diadaptasikan dari sebuah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara pelakon yang mewarnai filem tersebut adalah Zaidi Omar, Fiza Halim, Mubarak Majid, Sherie Merlis dan ramai lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.