Majlis Perundingan Muhibbah P. Pinang Cadang Kerajaan Wujudkan Hari Perpaduan Negara

PULAU PINANG, 8 Nov – Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) menggesa kerajaan mengisytiharkan 8 Februari pada setiap tahun sebagai Hari Perpaduan Negara sebagai usaha mewujudkan satu tarikh yang menjadi ingatan rakyat Malaysia mengenai perpaduan kaum di negara ini.

Pengerusi MPMNPP Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, Hari Perpaduan Negara itu perlu diadakan kerana ia akan menjadi pemangkin kepada falsafah bersatu dalam kepelbagaian.

“Negara ini terdiri dari masyarakat pelbagai kaum dan kita perlu wujudkan satu hari yang dikenali sebagai Hari Perpaduan untuk diraikan secara bersama oleh semua kaum dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berunsur perpaduan kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MPMNPP memilih 8 Februari kerana 8 Februari 1956 merupakan tarikh keramat kerana pada tarikh tersebut, rombongan merdeka yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang megandungi Wakil-Wakil dari Kerajaan Perikatan dan Wakil-Wakil dari Raja-Raja Melayu telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan British bagi menetapkan bahawa tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ialah pada 31 Ogos 1957.

Dengan persetujuan yang dicapai oleh ketiga-tiga pihak, maka majlis menandatangani perjanjian yang telah dipersetujui itu di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 telah dimeterai.

Peristiwa yang berlaku di London itu juga iaitu 8 Februari 1956 adalah bersempena dengan hari lahir Tunku Abdul Rahman yang dikenali sebagai Bapa Malaysia.

Mohd Yussof berkata, MPMNPP sememangnya telah menyambut Hari Perpaduan peringkat negeri pada setiap 8 Februari sejak 21 tahun lepas iaitu sejak perasmian penubuhan majlis itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003.

Memandangkan bahawa 8 Februari merupakan suatu tarikh keramat yang amat penting dan yang mencatitkan sejarah negara, maka MPMNPP seterusnya mencadangkan supaya tarikh keramat ini diisytiharkan dengan rasminya sebagai Hari Perpaduan Negara oleh Kerajaan Malaysia menjelangnya Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Bapa Malaysia pada tahun 2025 akan datang.

“Di Pulau Pinang pelbagai aktiviti berunsur memupuk semangat muhibah diadakan bersempena dengan Hari Perpaduan peringkat negeri dan kita berharap agar kerajaan pusat turut menyambut Hari Perpaduan Negara pada tarikh yang sama supaya tarikh itu dapat dirakam sebagai Tarikh yang bersejarah di negara ini”, kata veteran UMNO itu lagi.

Sehubungan itu MPMNPP telah menghantar surat cadangan kepada Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang supaya mengisytiharkan tarikh hari Perpaduan Negara pada 8 Februari itu dan MPMPP bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi menjayakan cadangan itu. – UMNO ONLIE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit