Usaha Pembangunan Luar Bandar Diterima Baik, Mohd Zaidy Sokong Inisiatif DPLB 2030

JEMPOL, 7 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir, menyambut baik pelbagai usaha dan inisiatif yang digariskan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memastikan kehidupan rakyat terbela khususnya masyarakat di luar bandar.

Katanya, Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 serta Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2021 yang telah dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen semalam, adalah bukti kesungguhan memastikan kesejahteraan masyarakat secara holistik.

“Dasar ini menunjukkan komitmen yang jelas untuk membangunkan masyarakat luar bandar, terutamanya di kawasan seperti Jeram Padang. Pelaksanaan DPLB 2030 bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk desa, tetapi juga mampu untuk memperkasa ekonomi setempat, meningkatkan kemudahan infrastruktur dan memajukan sektor pendidikan serta kesihatan penduduk.

“Ini juga adalah bukti iltizam untuk melaksanakan usaha sebaik mungkin bagi membangunkan masyarakat desa serta memastikan kesejahteraan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan seterusnya mengangkat potensi desa ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, Mohd Zaidy menekankan bahawa masih ramai masyarakat desa yang tertinggal dalam aspek pembangunan, maka usaha ini sangat penting untuk menjadikan kawasan luar bandar lebih maju dan sejahtera.

“Inisiatif ini tentunya juga akan dapat memberi manfaat besar kepada penduduk sebagaimana di Jeram Padang yang masih bergantung kepada sektor pertanian, penternakan dan aktiviti ekonomi tradisional.

“Di Jeram Padang, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, serta kemudahan pendidikan menjadi keutamaan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Walaupun terdapat kemajuan dalam beberapa aspek, masih banyak kawasan di sini yang memerlukan pembangunan infrastruktur dan peningkatan kualiti kehidupan bagi membantu penduduknya meningkatkan taraf kehidupan.”

Mohd Zaidy menambah, program-program latihan kemahiran dan keusahawanan yang dirancangkan kerajaan juga tentunya akan dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk membangunkan kerjaya dan menyertai ekonomi digital yang semakin berkembang.

“Hal ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk desa. Kita mahu memastikan bahawa semua penduduk, bukan hanya penduduk mereka di kawasan Jeram Padang tetapi masyarakat keseluruhan dapat merasai perubahan positif ini,” kata beliau.

Justeru katanya, sokongan dan dukungan dari semua pihak amat penting bagi memastikan DPLB 2030 dan pelan strategik KKDW mencapai matlamatnya lantas rakyat akan dapat menikmati hasil usaha pembangunan dalam jangka panjang, sekaligus membawa perubahan besar dalam hidup mereka.

Dilaporkan, Ahmad Zahid semalam memaklumkan bahawa DPLB 2030 serta Pelan KKDW 2021 memfokus kepada strategi bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses infrastruktur asas serta kemudahan sosial terbaik setanding di bandar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit