Saham MAHB: Malaysia Tegaskan Tidak Terlibat Sebarang Hubungan Diplomatik Israel – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Malaysia tidak terlibat dalam sebarang hubungan diplomatik atau institusi secara langsung dengan Israel atau mana-mana negara yang mewakili Israel termasuklah dalam isu Pemerolehan Saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Alamin berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dan telah dijawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang Berhormat Larut, Tumpat, Bachok, Sik, Parit Buntar dan Padang Terap telah membangkitkan isu mengenai pemerolehan GIP oleh BlackRock dalam pembelian saham MAHB.

“Untuk makluman, perkara ini telah pun dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Sesi Penerangan di Dewan Rakyat pada 4 November 2024.

“Perdana Menteri dengan jelas menyatakan bahawa pendirian Malaysia mengenai syarikat Israel adalah yang paling tegas dalam sejarah Kerajaan Malaysia. Malah, lebih tegas berbanding tindakan apa yang diambil oleh banyak negara lain di seluruh dunia,” katanya ketika sesi perbahasan sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pendirian Kerajaan Madani mengenai dasar luar berkaitan hubungan dengan Israel sentiasa jelas dan tegas.

“Kita tidak sesekali benarkan syarikat Israel untuk bertapak di negara kita. Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak bahawa sebarang polemik berkaitan isu dikaitkan dengan rejim Israel boleh menjejaskan kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang.

“Saya ingin nyatakan di dewan yang mulia ini bahawa dasar luar Malaysia berkaitan dengan hubungan dengan Israel adalah sentiasa jelas dan tegas. Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel.

“Oleh itu, Malaysia tidak terlibat dalam sebarang hubungan diplomatik atau institusi secara langsung dengan Israel atau mana-mana negara yang mewakili Israel,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Luar Negeri berperanan untuk menggubal dasar dan merancang strategi nasional sebagai usaha mencari penyelesaian terbaik untuk menangani isu dan cabaran berkaitan isu maritim.

“Berhubung isu keselamatan maritim yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ledang, Kementerian Luar Negeri bersama-sama kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan bertanggungjawab mengendalikan dan menyelia isu-isu maritim dengan pihak luar.

“Ini termasuklah menyusun strategi rundingan persempadan maritim antara Malaysia dan negara-negara jiran bagi memelihara keutuhan serta kedaulatan kawasan maritim negara.

“Pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri juga berperanan dalam menggubal dasar dan merancang strategi nasional sebagai usaha mencari penyelesaian terbaik untuk menangani isu berkaitan isu maritim termasuk melalui platform dua hala, serantau dan pelbagai hala bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Kementerian Luar Negeri akan memastikna sebarang bentuk rundingan persempadanan maritim tidak akan menjejaskan kedaulatan negara.

“Dalam mencari penyelesaian terbaik untuk menangani isu dan cabaran berkaitan isu maritim, Kementerian Luar Negeri juga akan sentiasa memastikan sebarang bentuk rundingan persempadanan maritim mahupun kerjasama keselamatan maritim di peringkat dua hala, serantau mahupun antarabangsa tidak akan menjejaskan kedaulatan serta keselamatan negara.

“Dasar Malaysia adalah jelas. Kita sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa dalam melaksanakan hubungan luar negara. Sebarang tindakan Malaysia dipastikan sentiasa dibuat dalam ruang lingkup perundangan.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan sentiasa menjaga dan memelihara kedaulatan serta kepentingan negara pada setiap masa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit