Kebajikan Pekerja Gig: KESUMA Dalam Proses Sedia Draf RUU, Bakal Bentang Sidang Kali Ini

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam proses menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang bakal dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini untuk menjaga kebajikan pekerja industri tersebut.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KESUMA telah mengambil beberapa inisiatif untuk membangunkan sektor ekonomi gig melibatkan pelbagai aspek.

“Sebagai usaha menangani isu-isu utama dihadapi oleh pekerja gig dan memastikan kebajikan mereka terjamin, KESUMA telah mengambil beberapa inisiatif untuk membangunkan sektor ekonomi gig yang lebih mampan serta berdaya saing.

“…agar dapat memberikan sumbangan lebih besar kepada ekonomi negara. Inisiatif-inisiatif ini melibatkan aspek kajian, perundangan, perlindungan sosial dan pembangunan kerjaya bagi pekerja gig di Malaysia.

“KESUMA dengan kerjasama perunding daripada Universiti Malaya telah melaksanakan kajian membangunkan Kerangka Dasar Pekerjaan dan Perundangan Dalam Ekonomi Gig di Malaysia. Laporan dan hasil kajian tersebut akan diterbitkan pada Disember tahun 2024,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) telah meluluskan cadangan menggubal akta baharu khusus untuk pekerja gig.

“Di samping itu, MJM mengenai cadangan menggubal akta baharu khusus untuk pekerja gig telah disediakan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2024. MJM tersebut telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tarikh yang sama.

“KESUMA dalam proses menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada sidang kali ini. Proses ini melibatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan (stakeholders), kajian mendalam mengenai keperluan pekerja gig dan memastikan semua aspek undang-undang dipatuhi

“Dalam tindakan menggubal akta baharu bagi pekerja gig, KESUMA terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu orang bekerja sendiri termasuk pekerja gig dalam menyelesaikan masalah dihadapi terutama dari segi keselamatan sosial danlatihan pembangunan yang sesuai dengan permintaan pasaran,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa KESUMA telah melaksanakan Melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS).

“Ia dilakukan dengan melaksanakan SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] kepada OBS. Selain itu, KESUMA turut melaksanakan inisiatif di bawah Bajet 2024 iaitu Program SPS Padanan Caruman dan
menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“MOT telah memberi tajaan caruman penuh SKSPS kepada individu yang bekerja sendiri sebagai pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah. MOT juga telah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memandatorikan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“KESUMA juga telah mengadakan sesi libat urus berterusan, mempergiat hebahan mengenai produk PERKESO di media cetak, massa dan sosial. Selain itu, KESUMA menerusi PERKESO melaksanakan Program Bina Kerjaya 2.0 merupakan program pembangunan kerjaya yang dikhususkan kepada pekerja sektor tidak formal termasuk pekerja dalam sektor p-hailing dan e-hailing,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit