‘Luar Biasa Apabila Dana Awam Disalur Kepada Syarikat Rugi Lima Tahun Berturut-turut’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengakui setiap perniagaan yang diusaha mempunyai risiko tersendiri.

Katanya ini termasuk memperoleh keuntungan dan juga kerugian.

Namun menurut beliau ia akan menghairankan apabila syarikat yang mencatatkan kerugian secara lima tahun berturut-turut memperolehi dana awam.

“Buat bisnes untung rugi adalah perkara biasa.

“… tetapi yang luar biasanya adalah meletakkan dana awam yang besar kepada syarikat yang mencatatkan kerugian lima tahun berturut sebelumnya.

“Ada lagi yang luar biasa bila ada orang mempertahankannya. Dia ni tahu tak, rakyat kat bawah ni nak pinjam RM10,000 buat bisnes pun payah nak dapat,” katanya.

Terdahulu, platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FV) menjadi tumpuan berikutan kerugian pelaburan yang ditanggung oleh Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), sudah menyaksikan kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu melabur.

Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dan 2017 menunjukkan bahawa kerugiannya meningkat kepada RM10.7 juta pada 2017 berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.