Kerajaan Akan Pastikan Kepentingan Negara Terjaga – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Kementerian Luar Negeri akan sentiasa memastikan kepentingan negara terjaga dan terpelihara dalam penyertaan Malaysia yang melibatkan semua organisasi antarabangsa, termasuk BRICS.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan berpandangan bahawa penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil, dan berdaya tahan.

Dalam hal ini, tegasnya penyertaan Malaysia dalam BRICS diyakini akan memberikan kesan yang positif ke atas kemajuan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Menurut beliau ianya juga berupaya membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara yang seterusnya dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing, foreign direct investment (FDI), dengan negara-negara anggota BRICS, sekali gus mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada.

“BRIC diasaskan Brazil, China, India dan Rusia pada tahun 2009 dan  Afrika Selatan menyertai organisasi tersebut setahun kemudian (2010). Terma ‘BRICS’, yang merupakan akronim nama kelima-lima negara tersebut mula diguna semenjak itu.

“Negara Anggota BRICS telah meningkat kepada sembilan (9) buah Negara apabila Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Iran dan Mesir bersetuju menganggotai BRICS. Di bawah Kepengerusian Rusia 2024, BRICS memberi keutamaan kepada pengintegrasian empat (4) negara – negara baru dengan negara-negara asal BRICS.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan hasrat supaya Malaysia menyertai BRICS semasa sesi wawancara dengan media China, Guancha pada 13 Jun 2024. Susulan itu, Malaysia telah dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak, Heads of State and Government Meeting in the BRICS Outreach/BRICS Plus pada 23 – 24 Oktober 2024 dan Menteri Ekonomi telah mewakili  Perdana Menteri bagi menghadiri Sidang Kemuncak tersebut.

“Terbaru adalah di mana Malaysia telah diterima sebagai Negara Rakan, atau dengan izin, Partner Country, BRICS. Kita melihat undangan ini sebagai satu perkembangan yang positif dan memanfaatkan Negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau A/L Veraman meminta Menteri Luar Negeri  menyatakan bagaimana pihak Kerajaan akan memastikan organisasi BRICS tidak mempengaruh urusan domestik dan politik negara kita serta memastikan institusi demokratik kita terjaga.

Mohamad Alamin seterusnya menambah salah satu teras BRICS adalah bagi membincangkan kerjasama ekonomi dan reformasi tadbir urus global.

Tambahnya lagi BRICS turut memperjuangkan agenda, dengan izin, Global South yang menyumbang ke arah pembangunan global mampan dan peradaban dunia yang lebih adil dan saksama.

“BRICS ditubuhkan berdasarkan prinsip muafakat dan memberi penekanan terhadap kedaulatan dan integriti teritorial Negara-negara Anggota. Sebagai sebuah organisasi yang berlandaskan pembangunan dan kerjasama ekonomi, BRICS mengamalkan dasar tidak mempengaruhi dan mencampuri hal-hal dalaman Negara-negara Anggota BRICS.

“Negara-negara BRICS mengutamakan prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan keterangkuman dalam proses kerja dan segala keputusan dibuat berdasarkan konsensus,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.