Cadangan Penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen Antara Agenda Reformasi Institusi – Azalina

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen merupakan antara agenda reformasi institusi yang direncanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha untuk memartabatkan Parlimen melalui doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melalui cadangan ini, perkhidmatan Parlimen baharu akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus termasuk perkara-perkara yang melibatkan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

“Bagi penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, beberapa sesi libat urus, mesyuarat dan kajian tinjauan telah diadakan pada tahun 2023 dan 2024 bersama Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Badan Peguam serta BHEUU JPM bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan penetapan dasar serta pewujudan Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Berikutan dengan usaha-usaha yang telah diambil, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung Cadangan Penetapan Dasar Bagi Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen telahpun dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Jun 2024,” katanya.

Seterusnya, kata beliau lagi satu mesyuarat akan diadakan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk membincangkan isu perjawatan serta sumber manusia perkhidmatan Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Azalina seterusnya menambah RUU Perkhidmatan Parlimen dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Bagi penggubalan RUU pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) pula, Parlimen Malaysia dengan kerjasama BHEUU JPM sedang dalam proses penelitian ketetapan dasar, parameter gubalan akta dan impak kepada perundangan sedia ada bagi memastikan ianya memenuhi ekspektasi semua pihak berkepentingan,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit