MTL: MB Seru Rakyat Pahang Berwaspada, Utamakan Keselamatan Diri

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat di negeri itu untuk berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada Selasa.

Menerusi kenyataannya pada Isnin, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang bersama agensi-agensi keselamatan sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya musibah banjir berlaku.

“Penduduk di negeri Pahang diminta bersiap sedia menghadapi MTL yang dijangka bermula 5 November 2024 sehingga bulan Mac 2025. Sepanjang tempoh MTL, negeri Pahang seperti kelazimannya akan dilanda bencana banjir.

“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, di samping mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Pahang bersama-sama agensi keselamatan yang lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT daripada sebarang musibah dan malapetaka,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa MTL 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pada fasa awal MTL dari November hingga Disember 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Jelasnya, pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.